Peruntukan RM1.1 juta dalam, baik 3 sungai

BUKIT TAMBUN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperuntukkan RM 1.093 juta untuk projek memperdalam dan membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi di sini.

Menurutnya, inisiatif berkaitan mungkin merupakan projek perintis untuk Kerajaan Negeri mendapatkan pulangan hasil royalti daripada kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pengorekan pasir sungai.

“Sebelum ini, bagi pelaksanaan kerja pengorekan pasir, selain sungai dapat didalamkan, Kerajaan Negeri tidak mendapat apa-apa hasil.

“Melalui projek perintis ini, Kerajaan Negeri akan mendapat hasil melalui bayaran royalti setelah kontraktor mendapat kelulusan Permit 4B (Lesen Pendudukan Sementara), dan permit yang disatukan di bawah Bab 3 Kanun Tanah Negara 1965, yang mana permohonan adalah di dalam kontrak,” jelasnya pada Majlis Pecah Tanah Projek Mendalamkan dan Membaiki Sungai Junjung, Sungai Duri dan Sungai Jawi di sini baru-baru ini.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut memuji cetusan idea inovatif Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok, sehingga menjadi hasil baharu kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri dijangka mendapat hasil melalui skop pengorekan pasir sebanyak RM230,000, melalui korekan 32,000 meter persegi, bersamaan 57,000 tan metrik (pasir).

“Melalui projek perintis ini, saya berharap kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh JPS dan Pejabat Tanah dapat diteruskan, dan memberi pulangan hasil baharu kepada negeri ini,” ujarnya.

Sebelum itu, Sabri menyatakan bahawa kerja-kerja menaik taraf tebing Sungai Duri sepanjang 350 meter (m) menggunakan kaedah tembok Gabion; pemasangan cerucuk konkrit sepanjang 100m tebing Sungai Jawi; kerja memperdalam Sungai Junjung adalah melibatkan kerja pengorekan pasir sepanjang 4 kilometer dari Kampung Kuala Tasek hingga Jalan Persekutuan Simpang Empat di sini.

“Melalui projek perintis ini, diharap akan mengurangkan risiko banjir kilat di Kampung Sethu, Sekolah Menengah Agama Ad-Diniyyah, Taman Sungai Duri, Kampung Lima, Kampung Surau dan beberapa lagi kawasan sekitarnya,” katanya.

ADUN Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Illias Masri Abdul Muin turut sertai majlis ringkas tersebut.