KM sanggah Najib isu TMP-PIL1 lebih mahal berbanding ECRL

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyanggah dakwaan bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa RM47 bilion anggaran kos pemajuan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) di Pulau Pinang adalah lebih mahal berbanding cadangan pelaksanaan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) sebelum ini dengan nilai RM55 bilion.

Kon Yeow berkata, TMP adalah terdiri daripada pintasan lebuh raya Penang Island Link 1 (PIL1), jajaran transit aliran ringan (LRT) serta beberapa lagi jenis pengangkutan awam moden lain.

Sedangkan, ulasnya, ECRL adalah keretapi laju di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia semata-mata.

“Tuduhan (Najib) itu terpesong (kerana) mereka bandingkan epal dengan oren, tiada kriteria perbandingan yang sama.

“Tentulah lebih mahal ECRL dengan harga lebih RM50 bilion berbanding projek kita (PIL1) yang dianggarkan RM7 bilion hingga RM8 bilion,” tegas Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada pagi 9 Ogos.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menjelaskan perkara itu kepada pemberita sebelum menyertai persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Pulau Pinang Ke-14.

Di sini juga, Kon Yeow menerima memorandum sokongan terhadap hasrat Kerajaan Negeri melaksanakan TMP, daripada Mohd. Nasruddin Sultan, iaitu jurucakap sekumpulan pekerja industri yang saban hari bekerja menempuh trafik sesak di Zon Perindustrian Bayan Lepas.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, PIL1 mempunyai dua terowong berbanding ECRL yang mempunyai satu lorong sahaja.

Tambahnya, PIL1 adalah enam lorong pintasan lebuh raya, berbanding landasan berkembar dalam projek ECRL.

Kon Yeow dalam pada itu turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melaksanakan tender terbuka dalam PIL1, berbanding pentadbiran Najib dahulu yang mengamalkan rundingan lansung bagi ECRL.

Tambahnya, pelaksanaan PIL1 di kawasan perbandaran tentu membabitkan kos-kos lain seperti pengambilan tanah, pampasan dan utiliti, berbanding ECRL di kawasan hijau yang belum diteroka secara meluas.

“Kos PIL1 serta projek-projek pemajuan bercampur lain dalam TMP adalah dibiayai melalui cadangan penambakan laut di selatan pulau, manakala bagi ECRL pula dibiayai melalui pinjaman asing dari China.

“Mana boleh bandingkan epal dengan oren,” seloroh Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang sambil melahirkan rasa hairan terhadap Najib kerana baru-baru ini begitu memberi perhatian terhadap isu TMP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : ALVIE CHENG