Tanah 1MDB di Pulau Pinang masih kaveat, respons KM

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) masih belum menerima sebarang Permohonan Kebenaran Merancang di atas tiga lot tanah yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan kontroversi Persekutuan, 1Malaysian Development Berhad (1MDB) di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri turut memasukkan kaveat pendaftar untuk menghalang sebarang urusan jual beli bagi tanah-tanah tersebut.

“Bagaimanapun, PTG (Pegawai Tanah dan Galian) telah menerima surat daripada peguam bertarikh 14 April 2018 yang memaklumkan bahawa syarikat 1MDB RE (Ayer Itam) Sdn. Bhd. telah menukar nama mereka kepada Ayer Itam Properties Sdn. Bhd., dan memohon supaya tanah-tanah tersebut juga ditukarkan ke atas nama baru iaitu Ayer Itam Properties Sdn Bhd.

“Namun, Kerajaan Negeri masih lagi belum melaksanakan proses penukaran nama ke atas tanah-tanah tersebut,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sesi soal jawab lisan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini pada pagi 9 Ogos 2018.

Mengikut rekod PTG Pulau Pinang sehingga 18 Julai 2018, Kon Yeow menyatakan bahawa tiga tanah yang masih dimiliki 1MDB RE (Ayer Itam) Sdn. Bhd. yang dimaksudkan atas geran bernombor 4661, 53264 dan 43187 dekat Daerah Timur Laut, masing-masing berkeluasan 18,265.2 meter persegi, 15,681.6 meter persegi dan 61,069.2 meter persegi.

Terdahulu, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang meminta Ketua Menteri menjelaskan status terkini tanah-tanah 1MDB di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam, Air Putih dan Paya Terubong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN