KM seloroh Najib umum ‘Bonus Raya’ RM500 pada muka depan Utusan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam nada berseloroh berkata, pengumuman ‘bonus raya’ sebanyak 0.75 peratus gaji bulanan dengan minimum RM700 kepada kakitangan Kerajaan Negeri sebelum ini sepatutnya disiarkan dalam akhbar arus perdana.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemberian ‘bonus raya’ RM500 untuk semua kakitangan Kerajaan Persekutuan disiarkan pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 Jun baru-baru ini.

“Ada berita baik untuk semua kakitangan Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian RM500 untuk semua penjawat awam dan keluar juga dalam muka surat depan Utusan Malaysia.

“Tetapi, apabila Kerajaan Negeri bayar 0.75 bulan gaji, tak keluar langsung.

“Kita bayar (bonus raya) minimum RM700 berbanding Kerajaan Persekutuan bayar RM500,” seloroh Guan Eng kepada pemberita pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Tambahnya, ‘bonus raya’ akan disalurkan kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri sebelum Hari Raya Aidilfitri, pada 24 Jun 2016.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) turut sertai sidang media itu.