30 minit SPRM rakam keterangan Afif bantu siasat kes tanah babit PERDA

Admin

BAGAN DALAM – Kira-kira 30 minit sesi pertama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan Dr. Afif Bahardin bagi membantu siasatan kes penjualan sebidang tanah membabitkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), bermula 10.30 pagi.

Afif, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan ditemani peguam pengiring, Ong Chin Wen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah.

“Saya ke mari untuk memberikan maklumat kepada SPRM dan fokus saya sekarang adalah untuk membantu siasatan…kerana isu ini melibatkan kepentingan awam.

“Saya harap SPRM boleh menjalankan penyiasatan dengan penuh rapi,” katanya yang juga ADUN Seberang Jaya kepada pemberita sebelum masuk ke Pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai berhampiran Kampung Jaya di sini pada 27 Mei lalu.

Selepas keluar dari kamar siasatan, Afif bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai butiran keterangannya kepada pegawai penyiasat berkenaan. 7 April lalu, Afif membuat aduan berwajib di Kompleks Ibu Pejabat SPRM Negeri Pulau Pinang dekat George Town, susulan suatu keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

PERDA yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya didedah menjual tanah seluas 3.461 hektar yang diambil atas tujuan awam di Kampung Tok Keramat, Sungai Acheh dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dengan harga serendah RM1.427 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, rakyat seakan-akan rugi kira-kira RM15.2 juta kerana harga pasaran sebenar berdasarkan penilaian duti setem adalah RM16.636.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut menyanggah dalih Shabudin kononnya tanah yang disyaratkan membina rumah mampu milik berkaitan adalah ‘bermasalah’.