KM syor Mah Hui ketuai penguatkuasaan trafik MBPP

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Anggota jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Forum Pulau Pinang (Penang Forum), Dr. Lim Mah Hui yang lantang mempertikai mutu penguatkuasaan trafik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) disyor mengambil tugas-tugas berwajib.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan memberi kuasa penuh serta sokongan dari segi sumber tenaga Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sekiranya Mah Hui sanggup menyahut syor itu sebagai cabaran.

“Seorang Datuk Bandar tugasnya bukan terbatas pada menunda kenderaan semata-mata, tugasnya bukan hanya mendengar aduan daripada saudara sahaja…kenapa tidak kamu mengambil cabaran ini (mengambil alih tugas penguatkuasaan trafik).

“Kamu juga Ahli Majlis (MBPP)… apa yang boleh saya syorkan, kamu ambil alih (tanggungjawab penguatkuasaan trafik) dan saya akan memberikan kuasa dan sumber tenaga penuh,” katanya kepada Mah Hui pada sesi dialog dua hala dengan anggota Penang Forum dan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Guan Eng menyatakan demikian ekoran anggota Penang Forum, Kanda Kumar melahirkan rasa bimbang dengan keadaan kesesakan trafik yang begitu teruk di bahagian pulau, antara lain didakwa berpunca oleh penguatkuasaan berwajib yang lemah ke atas amalan parkir kenderaan haram di bahu jalan sebelum itu.

Beberapa anggota Penang Forum yang turut hadir antaranya, Datuk Dr. Leong Yueh Kwong, Datin Dr. Kam Suan Pheng, Rebecca Duckett dan Datuk Agatha Foo.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran turut sertai forum berkaitan.

Sebagai maklum balas kepada tawaran tersebut, Mah Hui dalam reaksi spontan menyatakan bahawa beliau bersedia membantu sebagai penasihat sahaja bagi kerja-kerja penguatkuasaan MBPP, bukan sebagaimana disyor oleh Guan Eng.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);