Semua aduan ADUN Berapit selesai, respons MPSP

SEBERANG JAYA – Semua isu setempat yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kok Fooi menerusi laman sosial, Facebook dan akhbar baru-baru ini sebenarnya telahpun ditangani oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), respons Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud.

“Saya nampak di tapak, apa yang dibangkitkan telahpun selesai… jalan-jalan yang berlubang pun telahpun selesai (ditampal),” jelasnya mewakili Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Menurut Rozali, Kok Fooi pada 21 Disember tahun lalu memang ada mengadu mengenai beberapa batang jalan di Berapit berlubang.

Namun, jelas Rozali, MPSP menerusi emel pada 6 Januari lalu telahpun memaklumkan bahawa kerja-kerja menampal beberapa jalan berkenaan secara berperingkat mulai 7 Januari lalu.

“Pembaikan jalan telah siap pada 21 Februari,” katanya.

Rozali dalam pada itu turut memberi penjelasan mengenai rekod kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan yang dilaksanakan MPSP di dua kawasan perumahan, sebagai maklum balas kepada kenyataan Kok Fooi.

Tambahnya, Taman Bukit Indah mempunyai satu taman permainan dan satu taman rekreasi awam, manakala, di Taman Sri Bukit Indah pula terdiri oleh tiga buah taman permainan.

“Perkhidmatan pelupusan sampah adalah tiga kali seminggu, iaitu (dijadualkan) pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Kerja-kerja pembersihan awam sekali dalam seminggu dan pemotongan rumput dijadualkan setiap 21 hari (tiap-tiap bulan).

“Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di taman rekreasi awam tersebut dibuat setiap 60 hari bagi satu pusingan, (dengan) kerjakerja meliputi pemotongan rumput, penyapuan jalan dan pembersihan pokok-pokok renek” ujarnya.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, China Press pada 21 Februari lalu antara lain melaporkan, “Aduan jalan rosak tidak dapat diselesaikan. Lydia Ong Kok Fooi adu MPSP tidak nampak, tidak dapat dengar dan tidak dapat laksana.”

Akhbar Sin Chew Daily pula pada 22 Februari lalu, antara lain melaporkan, “Jumaat buat aduan, Sabtu jalan siap dibaiki. Aduan YB Ong melalui Facebook adalah lebih berkesan?”

Bercakap pada sidang media sama, para Ahli Majlis MPSP lain turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan di Berapit, dengan mengharapkan sokongan sebagai ‘satu pasukan’ daripada Kok Fooi sendiri kelak.