KM syor PIBG rayu GST dikecuali pemajuan infrastruktur sekolah

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru- Guru (PIBG) bagi 20 sekolah mubaligh yang dipilih menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM1,175,000 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini disyor menghantar memorandum bersama bagi merayu pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas semua projek pembangunan infrastruktur di sekolah masingmasing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu wajar memandangkan Putrajaya sebelum ini telahpun menggambarkan bahawa sektor pendidikan awam tidak akan dikenakan 6 peratus GST mulai 1 April lepas.

“Kerajaan Negeri yang melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan awam pun turut dikenakan 6 peratus GST yang membebankan, dan ini tidak adil.

“Kamu (Kerajaan Pusat) tidak boleh memberi kepada kami dana bantuan sebagaimana dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini, itu tidak merisaukan, tetapi, janganlah diambil cukai (6 peratus GST) daripada projek pemajuan infrastruktur pendidikan di sekolah-sekolah mubaligh kami.

“Maka, saya ingin mencadangkan semua sekolah mubaligh bergabung secara bersama dan cuba untuk menghantar satu memorandum kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri untuk mengelak GST ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih pada Majlis Penyerahan Cek Replika Dana Sumbangan Pendidikan Kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina & Mubaligh Pulau Pinang.

Tambah Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, bantuan pendidikan kepada sekolah agama bantuan Kerajaan Negeri, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, serta sekolah aliran mubaligh diagihkan berdasarkan keperluan berwajib tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2010 memperuntukan RM850,000 kepada sekolah-sekolah mubaligh, diikuti, RM1,217,000 (2011), RM1,282,500 (2012), RM1,279,000 (2013), RM1,064,000 (2014) dan terbaru RM1,175,000 (2015).