P. Pinang komited inisiatif pulihara bumi

GEORGE TOWN – Dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan alam sekitar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama World Wildlife Fund for Nature (WWF) Malaysia dan pusat membeli-belah 1st Avenue menganjurkan acara berjalan kaki ‘Earth Hour Night Walk 2015’ sempena sambutan Earth Hour 2015 di sini baru-baru ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, acara tersebut diteruskan tahun ini setelah mendapat sambutan memberangsangkan tahun lalu.

“Sungguhpun tahun ini cuma 1,500 peserta mengambil bahagian berbanding 2,000 peserta tahun lalu, 2015 adalah lebih meriah dengan kepelbagaian acara termasuk pameran dan persembahan pentas,” ucapnya pada Majlis Perasmian Earth Hour 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma, Pengarah Pusat Membeli-belah 1st Avenue, John Lim dan Pengarah Operasi Tapak HGST Penang, James Lau.

Turut serta, Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Akbar Mustapha dan Pengarah Rekreasi, Pelancongan & Perhubungan Antarabangsa, Rashidah Jalaludin.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengajak semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama berganding bahu memberi sokongan terhadap sebarang inisiatif ke arah pemuliharaan bumi.

“Kita (Kerajaan Negeri) amat teruja dan rasa bermotivasi kerana Pulau Pinang akan menyertai pertandingan WWF’s Earth Hour City Challenge (EHCC) tahun hadapan, iaitu satu pertandingan mempromosikan tenaga boleh dibaharui dan inisiatif mengekang perubahan iklim dunia yang turut disertai 15 negara lain termasuk Belanda, Belgium, Denmark dan Finland.

“Oleh itu, ayuh kita bekerjasama secara kolektif dalam menjayakan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri antaranya kempen mengurangkan penghasilan sisa karbon, kempen sekolah hijau dan kempen-kempen alam sekitar lain demi kelestarian masa hadapan,” seru beliau.

Dalam pada itu, Dionysius ketika ditemui memberitahu, pihaknya sentiasa teruja untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri terutama dalam program-program inisiatif hijau dan penjimatan tenaga.

“Inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat sememangnya suatu usaha murni.

“Bagi pihak WWF-Malaysia, kami amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama ini, tambahan pula sokongan yang ditonjolkan warga Pulau Pinang terhadap isu-isu berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan amat mengagumkan,” ujar beliau.

Selain lampu di bangunan 1st Avenue dimalapkan dan bangunan pentadbiran negeri, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bergelap sebagai sebahagian tanda sokongan terhadap kempen kesedaran perubahan iklim global, beberapa mercu tanda ikon George Town juga berbuat demikian.

Sejak 2009, Pulau Pinang tidak pernah ketinggalan menyertai kempen kesedaran pemuliharaan bumi dan penjimatan tenaga yang turut disambut di lebih 170 negara serta wilayah seluruh dunia termasuk 1,200 mercu tanda dan 40 tapak warisan dunia UNESCO.

Earth Hour bermula di Sydney, Australia pada 2007 dan mendapat sokongan global.

}