KM umum naik taraf kompleks Tanjung Bungah RM1.5 juta

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kerja-kerja menaiktaraf Kompleks Pasar dan Makanan Tanjung Bungah yang dijangka siap pada 31 Ogos tahun depan menelan belanja kira-kira RM1.5 juta.

“Syabas kepada pihak Majlis (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) yang mengambil inisiatif dan komitmen untuk menaiktaraf kompleks ini dalam membangunkan industri hiliran di kawasan Tanjung Bungah,” ujar Guan Eng di sini baru-baru ini.

Hadir bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah Teh Yee Cheu, Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bunga).

Lee Chun Kit, Mohd. Foaz Abdul Hamid, Muhammad Sabri Md. Osman, Abdul Halim Salleh dan D.S. Harvindar Singh antara Ahli Majlis bagi MPPP yang turut hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih berkata, kerja-kerja menaiktaraf kompleks tersebut diharap memberi keselesaan kepada warga setempat, ke arah merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat.

Difahamkan, pasar tersebut dibina pada tahun 1993 dan tidak pernah dinaiktaraf selama 20 tahun.

Kini, kompleks tersebut akan menyediakan 56 gerai makanan dan 60 lot gerai pasar, lengkap dengan kemudahan lain yang mesra alam sekitar.

“Kerja-kerja menaiktaraf terbahagi kepada empat fasa dan merangkumi kerja-kerja menggantikan kemasan bumbung sedia ada, menggantikan gutter dan rain water down pipes bagi menyelesaikan masalah kekaratan, kemasan siling, lantai baharu, pendawaian semula serta menyusun semula kedudukan meja dan kerusi di kompleks makanan,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.