KN peka kepentingan wanita

Oleh: AHMAD ARAFAT ESAH

SEBERANG JAYA – Kepelbagaian program disediakan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan wanita di negeri ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Briged Wanita Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Kerajaan Negeri sentiasa bersikap prihatin dan peka terhadap kepentingan kaum wanita di negeri ini.

“Pusat Perkhidmatan Wanita di Seberang Perai, Pusat Jagaan Kanak- kanak di bahagian pulau dan Seberang Perai serta penubuhan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) adalah antara sumber diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pembangunan wanita di negeri ini, ujarnya pada Majlis Kursus Induksi Briged Wanita Pulau Pinang di sini baru- baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Menurut Norlela, ramai daripada wanita setempat yang mungkin tidak sedar bahawa Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program bagi membantu kebajikan golongan hawa di bawah PWDC.

“Menerusi program ini diharap golongan wanita tidak akan melepaskan peluang untuk bersama membina Pulau Pinang yang bahagia dan makmur dengan peluang yang diberikan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa penubuhan Briged Wanita Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah untuk memimpin para wanita supaya berdikari menerusi program-program bantuan ditawarkan Kerajaan Negeri contohnya seperti pinjaman mikrokredit menerusi Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Malah, penubuhan Briged Wanita juga disaran membantu golongan wanita dalam lingkungan usia 35 tahun ke atas bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan mammogram percuma yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri,” ujarnya.