KM umum RFP taman tema, peranginan Batu Kawan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri baru melaksanakan Request for Proposal (RFP) bagi pembelian, pajakan dan pemajuan taman tema berprestij antarabangsa serta pusat peranginan Bandar Cassia dekat Batu Kawan.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar berkata, pembida tender terbuka turut dibenarkan mengemukakan cadangan pembangunan lain demi memastikan keseluruhan projek berkenaan berdaya maju.

Tambah beliau, tempoh RFP adalah selama 10 minggu, iaitu bermula pada 14 Ogos lepas hingga 31 Oktober depan.

“Pembangunan tanah tersebut haruslah berdasarkan standard antarabangsa, samaada pembangunan perumahan, komersial atau apa jua pembangunan yang berkaitan.

“Ini merupakan masa yang sesuai untuk membangunkan suatu projek yang bakal memberi manfaat dan rangsangan sektor pelancongan negeri, terutamanya apabila Jambatan Pulau Pinang kedua dijangka siap akhir tahun ini,” kata Rosli di sini baru-baru ini.

Difahamkan, pemajuan taman tema membabitkan 213.10 ekar tanah, manakala, pembangunan pusat peranginan lengkap dengan padang golf 18 lubang pula membabitkan 472.80 ekar tanah.

“Taman tema dan pusat peranginan ini mestilah dibina dan siap dalam tempoh empat tahun dari tarikh menandatangani perjanjian,” ujar Rosli.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pula berkata, Kerajaan Negeri perlu memanfaatkan sektor perkhidmatan dan pembuatan sungguhpun keduadua sektor tersebut mengalami pertumbuhan yang perlahan pada suku pertama tahun ini.

“Sektor pembuatan tahun lepas (2012) pada suku pertama mengalami pertumbuhan 4.4 peratus berbanding tahun ini hanya 0.3 peratus.

“Sektor perkhidmatan pula sungguhpun meningkat dari 5.7 peratus (2012) ke 5.9 peratus pada suku pertama, namun pertumbuhan ini adalah kecil,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan perlu seiring dengan pertumbuhan sektor
pelancongan, bukan sahaja di bahagian pulau, malah, di Seberang Perai.

Tuntas itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mengupaya semua potensinya demi memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dan rakyat terbanyak di negeri berkenaan.