KM minta P.Pinang tumpu sektor pelancongan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan yang lebih pada pemerkasaan sektor pelancongan memandangkan industri pembuatan di Pulau Pinang mengalami pertumbuhan merosot belakangan ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa majlis pelancaran Penang Tourism Blueprint Workshop 2013 di INTI International College Penang di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, sektor perkhidmatan di negeri berkenaan bagi tahun ini menyaksikan perkembangan baik, iaitu meningkat 5.9 peratus berbanding 5.7 peratus pada tahun lepas.

Manakala, sektor pembuatan pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus sahaja bagi suku pertama tahun ini berbanding 4.4 peratus pada tahun lepas.

“(Justeru,) kita (Kerajaan Negeri) harus memperbanyakkan lagi acara berkaitan pelancongan bagi memberi satu pengalaman baru kepada pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Pulau Pinang agar negeri ini terus menjadi destinasi pilihan,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Danny Law Heng Kiang, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Marry Ann Harris (Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia, MAH) turut hadir pada bengkel tersebut.

Danny Law berkata, Kerajaan Negeri dalam masa lima tahun ini akan memberi tumpuan pada sektor pelancongan melalui sembilan kunci kejayaan, iaitu sejarah, pelancongan ekonomi, konvensyen, insentif, perubatan dan pelancongan, masakan dan pendidikan.

Sebelum itu, Marry Ann berkata, sektor perhotelan turut menyaksikan peningkatan tempahan sebanyak 25 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“Satu survey yang dijalankan oleh Horwarlth International menunjukkan peningkatan yang amat ketara dalam sektor perhotelan dalam (tempoh) dua tahun belakangan ini.

“Hotel di Pulau Pinang juga terkenal antara negeri yang mengenakan kadar yang rendah di kalangan negara di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Difahamkan bengkel tersebut dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, kolej berkenaan dan MAH sendiri.