KN biaya 80 peratus kos tangki bocor – Exco

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

NIBONG TEBAL – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo berkata, RM9,000 diperlukan untuk membaiki tangki air Kondo Rakyat Taman Bistari di sini yang dikesan bocor.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri bersedia menanggung 80 peratus kos yang bernilai RM7,200, manakala, 20 peratus lagi yang berjumlah RM1,800 akan ditanggung oleh pemaju.

“Baki (RM1,800) itu boleh didapati samada melalui persatuan penduduk,sumbangan dari syarikat dan persendirianatau peruntukan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri),” jelas beliau di sini barubaru ini.

ADUN Jawi, Soon Lip Chee turut menyertai lawatan kerja Jagdeep itu. Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat berkata, peruntukan Kerajaan Negeri itu akan diambil daripada tabung Program bantuan Perumahan Pulau Pinang atau HAPPY!.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai masalah kolaborasi antara HAPPY! dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang didakwa masih belum mendapat kelulusan langsung daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ekoran itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta lagi daripada dana HAPPY! ke dalam peruntukan pembangunan Kerajaan Negeri.

“Dengan tambahan dana 10 peratus daripada RM50 juta peruntukan HAPPY!, kerajaan negeri akan menanggung 90 peratus kos bagi projek perumahan kerajaan, menjadikan kos yang perlu ditanggung oleh penduduk hanyalah sebanyak RM900 sahaja.

“Keputusan ini diambil kerana kerajaan negeri cakna dengan masalah rakyat dan tidak boleh lagi menunggu status kelulusan yang memakan masa yang lama dari pihak kementerian berkenaan.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan ini bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk dan berharap ADUN kawasan dapat memberi kerjasama dengan mengenalpasti projek bermasalah untuk diselenggara,” kata beliau.