MPPP pasang lampu isyarat elak kemalangan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Padang Tembak – Jalan Goh Guan Hoe diharap bukan sahaja melancarkan aliran trafik, bahkan, mengurangkan indeks kemalangan jalan raya di sini.

Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), A. Rajendran berkata demikian kerana persimpangan tersebut direkodkan sebagai kawasan kerap kemalangan saban bulan.

“(Kemalangan) kerana terdapat selekoh tajam di antara penyambungan jalan ini (dengan) jarak penglihatan turut terhadap kepada pemandu,” ujar beliau dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kerja-kerja menaik taraf seperti memasang lampu isyarat dan papan tanda, pelebaran jalan serta mengecat jalan itu dimulakan sejak April lepas.

Tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf tersebut menelan belanja kira-kira RM120,000.

Inisiatif terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memelihara keselamatan rakyat terbanyak yang menggunakan jalan berkenaan.