KN komited bangun EKS tempatan

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPulau Pinang mempunyai pendekatan serampang tiga mata dalam membantu membangunkan dan mengembangkan enterprise kecil dan sederhana (EKS) tempatan di persada antarabangsa melalui investPenang ( i P ) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Melalui iP, Kerajaan Negeri telah membangunkan SME Market Advisory, Resource and Training (SMART) Centre iaitu sebuah pusat sehenti penasihat pemasaran, sumber dan latihan khas bagi penggiat EKS. Penubuhan pusat tersebut adalah bagi memenuhi keperluan EKS tempatan melalui penyediaan latihan dan sumber serta peluang rangkaian mengembangkan produk masing-masing.

Dalam pada itu juga, melalui PDC, sebuah pusat EKS sedang dibina di Bayan Lepas bagi membolehkan para penggiat EKS tempatan mempunyai premis yang sesuai untuk memulakan perniagaan mereka.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, EKS menyumbang sejumlah 88% perolehan dan 26% pekerjaan bagi sektor pembuatan dan perkilangan tahun lalu di sini. Dalam pada itu, produk fabrikasi logam, automotif, jentera dan peralatan persis (precision toolings) serta minuman merangkumi 41% daripada jumlah keseluruhan EKS dan menyediakan lebih 33% pekerjaan dalam bidang berkenaan.

“Sejumlah 48% daripada EKS adalah dijana oleh sektor perkakasan elektrik dan elektronik sekaligus menunjukkan bahawa Pulau Pinang mempunyai kepakaran dan kecekapan dalam sektor tersebut.

“Tidak dinafikan, pembabitan syarikat-syarikat bertaraf multinasional (MNCs) di Pulau Pinang telah membantu membangunkan sektor elektrik dan elektronik termasuk penyediaan peralatan perubatan dan aeroangkasa,” ucapnya dalam Forum EKS Pulau Pinang 2012 di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu , penubuhan Perkampungan EKS (SME Villages) di Taman Perindustrian Bukit Minyak, Taman Sains Pulau Pinang dan Taman Perindustrian Batu Kawan juga merupakan pendekatan strategik dalam membantu EKS bergandingan dengan penggiat MNCs untuk membangunkan produk masing-masing.

“Dengan mengaplikasikan kaedah just-in-time (JIT), para penggiat EKS dapat mengurangkan pelbagai kos termasuk penyediaan ruang penyimpanan. Manakala, bagi MNCs, pembekalan oleh EKS me mbolehkan mereka memasarkan produk-produk EKS dengan segera dan lebih menyeluruh,’’ ujarnya.

Lanjutan itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga menubuhkan Kompleks Inovasi (Innoplex) di Bayan Lepas bagi menggalakkan inovasi , penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan EKS.

“Malah, baru-baru ini PDC telah bersetuju untuk membangunkan tapak seluas 2.4 ekar untuk dijadikan tapak penyelidikan dan pembangunan serta inkubator yang dikenali sebagai Pusat Penyelidikan, Inovasi dan Modul Sains (PRISM),” ujar Guan Eng.