KN pelawa IEM jadikan P.Pinang hub industri pintar

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

LIM Guan Eng menerima cenderamata penghargaan daripada wakil IEM pada Majlis Makan Malam Tahunan IEM Ke-44 di sini barubaru ini.
LIM Guan Eng menerima cenderamata penghargaan daripada wakil IEM pada Majlis Makan Malam Tahunan IEM Ke-44 di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Institut Jurutera Malaysia (IEM) negeri dipelawa untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam melonjakkan Pulau Pinang sebagai bandaraya bestari bertaraf antarabangsa yang memiliki hab industri berteknologi tinggi, kata Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Tahunan IEM Ke-44 baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang itu meletakkan harapan yang tinggi pada pertubuhan tersebut supaya melahirkan lebih ramai lagi jurutera mahir khususnya dalam hal reka cipta.

“Untuk menjadi sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar, Pulau Pinang mesti menjadi hab industri berteknologi tinggi dan pusat inovasi dan kreativiti.

“Kita (Kerajaan Negeri) mesti mempunyai baka baru jurutera yang bukan sahaja berwibawa dalam kejuruteraan, bahkan dalam reka cipta,” ujar beliau pada Majlis Makan Malam Tahunan IEM Ke-44 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, zaman sekarang memperlihatkan reka cipta yang memacu kejuruteraan, bukanlah sebaliknya seperti zaman dahulu.

“Lihatlah kebolehupayaan reka cipta Apple untuk memacu kejuruteraan pembuatan yang begitu hebat lagi menarik.

“Kita (Pulau Pinang) percaya bahawa kedua-dua aspek tersebut (iaitu) kejuruteraan dan reka cipta adalah sama penting. Kita mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kejuruteraan (reka cipta) dan jurutera yang terbaik,” ujarnya.

Beliau turut memuji pereka Jambatan Pulau Pinang, Prof. Chin Fung Kee di majlis itu.

“Lihatlah Prof. Chin Fung Kee yang bukan sahaja menjadikan Malaysia bangga dengan kemahiran kejuruteraan Jambatan Pulau Pinang, malah merupakan pereka cemerlang sehingga bentuk jambatan itu dianggap salah satu 10 struktur buatan manusia terbaik di Malaysia,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada IEM atas rekod sumbangan membangunkan negeri berkenaan.

Majlis itu dihadiri oleh Presiden IEM, Vincent Chen, Ir. Ng Sin Chie (Presiden IEM Pulau Pinang), Ir. Lim Kok Khong (Pengerusi jawatankuasa penganjur Majlis Makan Malam Tahunan IEM Ke-44) dan Ir. Dr. Cheong Kuan Yew (Pengerusi Divisi Kejuruteraan Elektronik Teknikal IEM).