KN serah tanah bernilai RM15 juta bina sekolah kanak-kanak terencat akal dipuji

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Presiden Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang secara terbuka memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng kerana menyerahkan sebidang tanah untuk cadangan pemajuan bangunan sekolah baharu khas untuk kanakkanak terencat akal di sini baru-baru ini.

Teks Presiden persatuan berkaitan, Datuk Teh Cheng Lim yang dibaca anaknya, Teh Beng Yeam merangkap Naib Presiden persatuan berkaitan menyatakan bahawa pemberian surat milik 1.3 ekar tanah kepada Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam membaiki kebajikan rakyat, khususnya membabitkan golongan terpilih.

“Persatuan kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih dengan memberi sanjungan kerana Tuan Lim Guan Eng merupakan ahli politik yang memahami dan menghayati maksud sebenar dalam kebajikan masyarakat.

“Disebabkan usaha sebegitu, Tuan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya diberikan penghormatan secara tinggi,” ujar Beng Yeam yang juga pemimpin veteran MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Mewakili persatuan tersebut, Beng Yeam turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Kumpulan Ideal Property, Datuk Alex Ooi kerana pihak pemaju itu sudi membantu pembiayaan kos projek bangunan cawangan sekolah khas untuk kanak-kanak terencat akal yang baharu kelak.

Selain Guan Eng, hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Wong Hon Wai (Setiausaha politik kepada Ketua Menteri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Difahamkan, bangunan asal Sekolah Kanak-Kanak Terencat Akal Pulau Pinang kini masih beroperasi di Jalan Datuk Keramat dekat Parlimen Jelutong.

Beng Yeam merupakan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013 bagi kawasan Parlimen Bukit Gelugor dan tewas pada penyandang, mendiang Karpal Singh dengan 41,778 undi majoriti.

Kini, anak mendiang Karpal, Ramkarpal Singh menyandang kerusi Ahli Parlimen Bukit Gelugor.