KN serius sedia prasarana bertaraf dunia

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serius dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur bertaraf dunia secara berterusan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, usaha tersebut mencerminkan hasrat Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa, malah juga bersih, hijau, sihat dan selamat.

“Inilah bukti bila kita kata, kita mahukan sebuah negeri yang sihat, maka kita bukan cakap saja.

“Kita (Pulau Pinang) ada fasiliti laluan basikal, sistem perkongsian basikal dan kini Kompleks Sukan Relau bertaraf antarabangsa dengan kemudahan kolam renang bersaiz olimpik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pembukaan Rasmi Kompleks Sukan Bandaraya Relau di sini, 19 Februari lalu.

Turut hadir, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Yeoh Soon Hin (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Paya Terubong); Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar MBPP), Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Kompleks sukan tersebut dibangunkan MBPP secara inhouse dengan peruntukan sejumlah RM21.4 juta yang telah siap sepenuhnya pada 10 Januari lalu.

Selain kolam renang bersaiz olimpik, fasiliti kompleks tersebut termasuk sebuah kolam menyelam, 10 gelanggang badminton, sebuah gimnasium, satu pro-shop, kafeteria dan alfresco serta kemudahan 97 petak parkir.

Tambah Guan Eng, Kompleks Sukan Bandaraya Relau merupakan fasiliti pertama dalam negara memperoleh penarafan Silver Rating (perak) bagi Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Kompleks ini adalah kompleks sukan paling hijau di Malaysia.

“Apa yang menjadikannya unik dan istimewa adalah kerana ia dibangun menggunakan bahanbahan binaan yang mesra alam sekitar seperti solar panel dan kelengkapan elektrikal yang cekap serta bahagian dalamannya menggunakan bahan-bahan boleh dikitar semula,” jelasnya.

Tuntas itu, Guan Eng menyeru masyarakat setempat agar menggunakan kemudahan yang disediakan secara berhemah.

“Ini adalah hadiah daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang untuk semua,” ujar beliau.