Pusat Konvensyen Setia SPICE dijangka siap 2020

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD

PANTAI JEREJAK – Projek naik taraf Pusat Konvensyen Setia SPICE bernilai RM750 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Naib Presiden Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Koe Peng Kang berkata, keseluruhan projek tersebut yang terletak di kawasan seluas 25.0 ekar itu merangkumi lima komponen utama secara berfasa.

Komponen secara berfasa itu menurutnya, termasuk Pusat Konvensyen Setia SPICE, Arena Setia SPICE, Pusat Akuatik Setia SPICE, kanopi Setia SPICE dan hotel kelas perniagaan bertaraf empat bintang.

“Kesemua komponen kini mengikut jadual pembangunan dan kami (SP Setia Berhad) menjangkakan ia akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 nanti,” katanya kepada pemberita sejurus lawatan tapak oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 25 Februari lalu.

Turut serta, barisan Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil daripada SP Setia Berhad, Penang International Convention & Exhibition Bureau (PICEB) dan Penang Global Tourism (PGT).

Menurut Peng Kang, Pusat Konvensyen Setia SPICE sudahpun menerima tempahan awal walaupun masih dalam pembinaan dan acara pertama dilangsungkan pada 4 Mac lalu.

“Dewan Utama di pusat konvensyen ini mampu memuatkan 8,000 tempat duduk secara teater atau tempat duduk secara bankuet (4,000) atau ruang pameran (230).

“Manakala di ruang foyer berkeluasan 2,000 meter kaki persegi (kp), mampu menampung sehingga 1,500 tempat duduk secara bankuet.

“Selain itu, terdapat juga 13 buah bilik mesyuarat pelbagai kapasiti bagi menampung keperluan dan permintaan
semasa,” jelasnya ketika memberikan taklimat ringkas kepada wakil-wakil media.

Pusat Konvensyen Setia SPICEmerupakan pusat konvensyen intergrasi bertaraf antarabangsa yang menawarkan kelengkapan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran atau MICE, makanan dan minuman, penginapan bertaraf empat bintang serta ruang rekreasi di bawah satu bumbung.

Dalam pada itu, Guan Eng ketika ditemui berharap pusat konvensyen berkenaan mampu merangsang perkembangan MICE dan menjadikan Pulau Pinang sebagai pilihan pelabur dan pelancong perniagaan di Malaysia.