KN terus usaha jadikan P. Pinang sifar projek perumahan terbengkalai

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

DATUK KERAMAT – Projek pembinaan asrama pekerja asing yang dipercayai mampu mengubah dan menyelesaikan masalah penempatan beribu-ribu golongan kakitangan berkaitan terutamanya yang menetap di kawasan perumahan umum, dijangka dibangunkan tahun ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sekurang-kurangnya empat projek asrama pekerja warga asing iaitu masing-masing tiga di Seberang Perai dan bahagian pulau (1) telah dikemukakan pelan pembangunannya kepada Kerajaan Negeri.

“Satu daripada tiga projek di Seberang Perai iaitu di kawasan Bukit Tambun telahpun menerima Borang C1 dari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Kita menjangkakan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi,” ujarnya ketika membentangkan prestasi kemajuan beberapa projek di Pulau Pinang sepanjang 2016 selepas mengedarkan kalendar tahun baru di Pasar Awam Taman Free School di sini baru-baru ini.

Hadir sama, mantan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Yusoff Mohamed Noor.

Tambah Jagdeep, projek pembinaan asrama pekerja warga asing tersebut adalah penting dan menjadi keutamaan untuk mengatasi masalah kebanjiran golongan kakitangan berkaitan di kawasan-kawasan perumahan sekitar pusat perindustrian di Pulau Pinang.

“Inisiatif ini adalah pendekatan untuk memerangi masalah kebanjiran pekerja asing di kawasan-kawasan perumahan umum dan sekaligus mengurangkan kadar berlakunya pelbagai masalah sosial,” jelasnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Pada sidang media sama, Jagdeep turut menyatakan bahawa pihaknya akan terus aktif dalam ‘menghidupkan’ kembali projekprojek ‘sakit’, terbengkalai dan memastikan Skim Perumahan Awam di negeri ini memiliki hak milik strata.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus berusaha memastikan Pulau Pinang menjadi negeri pertama sifar projek terbengkalai di Malaysia.

“Malah, penantian 370 pembeli Majestic Heights Fasa 2A di Paya Terubong selama hampir 20 tahun akan berakhir dan diharap kunci rumah  mereka dapat diserahkan sebelum sambutan Tahun Baru Cina ini,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau akan cuba sedaya mungkin untuk menyelesaikan masalah satu-satunya baki projek terbengkalai kini iaitu Mengkuang Height di Bukit Mertajam.

Tambah Jagdeep, antara masalah dan pencapaian lain yang telah diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada tahun lalu ialah pemprosesan hak milik strata beberapa Skim Perumahan Awam negeri.

“Atas usaha kita, hak milik strata Rumah Pangsa Batu Lanchang sejumlah 316 unit, Taman Tun Sardon Peralihan (139) dan Taman Tun Sardon Fasa III (140) dapat diselesaikan dan hak milik strata ini tidak pernah dikeluarkan lebih daripada tiga dekad oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus memastikan perumahan awam yang belum memiliki strata akan diberikan hak milik tersebut,” kata beliau