Kolaborasi bersama bagi pertambahan pencarum i-Suri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersetuju dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung kolaborasi dengan Kerajaan Negeri dalam usaha penambahan pencarum program i-Suri membabitkan warga negeri ini.

 

Melalui program i-Suri, jelas Kon Yeow, ianya dilihat mampu memberi manfaat kewangan serta perlindungan kepada kira-kira 3,000 pendaftar dalam Pengkalan Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih) di Pulau Pinang.

 

“Bagi menjayakan program ini, saya akan beri tanggunjawab kepada Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng untuk memperhalusinya.

 

“Kini, kita memerlukan perangkaan yang tepat bagi membantu pelaksanaannya, justeru Exco terlibat mungkin boleh lihat dengan lebih lanjut berhubung mekanisme bagi melaksanakan program caruman ini ke seluruh negeri melibatkan kelima-lima daerah,” ujarnya dalam satu kunjungan hormat KWSP Cawangan Bayan Baru terhadap beliau di sini petang tadi.

 

Difahamkan, daripada jumlah keseluruhan 5,000 suri rumah yang layak berdaftar dengan program e-Kasih), sehingga kini seramai 2,000 orang sudah mencarum skim i-Suri.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.

 

Wakil KWSP adalah terdiri daripada Ketua Cawangan KWSP Bayan Baru, Nordiana Ali; Ketua Perkhidmatan organisasi berkaitan, Suwaibah Abd. Rahman dan Pegawai Penasihat Persaraan KWSP Bayan Baru, Sayidatul Salwa Abdullah.

 

Selain program i-Suri, turut dibentangkan adalah Skim i-Saraan bagi individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap, belerja sendiri, suri rumah dan berpencen.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI