Kolaborasi PETACE bersama Shopee hidupkan sektor pelancongan

GEORGE TOWN – Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) mengadakan kolaborasi bersama platform dagangan dalam talian Shopee Malaysia sebagai usaha untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan di Pulau Pinang.

Melalui kerjasama tersebut, satu kempen dinamakan Jom! Experience Penang dilancarkan sebagai langkah pelan pemulihan sektor terbabit selaras dengan peralihan negeri Pulau Pinang ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa melalui kerjasama tersebut, pengguna Shopee kini boleh menikmati pakej-pakej pelancongan istimewa yang terdapat di Pulau Pinang dari 18 November hingga 31 Disember 2021.

“Terdapat lebih 150 pakej ditawarkan merangkumi hotel dan tempat-tempat tarikan pelancong bagi memenuhi permintaan pelancong domestik.

“Kempen ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pelancongan dan Pengembara Malaysia (MATTA), Persatuan Kemasukan Pelancong Malaysia (MITA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP).

 

“Melalui kempen ini juga, pengguna Shopee boleh menebus baucar tunai RM100 bagi pembelian pakej berharga RM150 dan ke atas,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jom! Experience Penang dekat The Top di Komtar, semalam.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT) Ooi Chok Yan; Naib Presiden MAH, Khoo Boo Lim; Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Shopee Malaysia, Wong Chee Mun serta wakil-wakil agensi terlibat.

 

Justeru, Soon Hin menyeru agar pemain-pemain industri pelancongan mengambil peluang melalui kempen Jom! Experience Penang bersama Shopee sebagai potensi baharu untuk menghidupkan semula sektor pelancongan.

 

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi-lokasi tarikan pelancong,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Sementara itu, Chee Mun ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana berjaya menjadi sebahagian daripada kempen Jom! Experience Penang.

 

“Sektor pelancongan begitu kaya dengan tarikan tersendiri seperti kebudayaan, makanan, kepelbagaian aktiviti termasuk ekopelancongan.

 

“Maka dengan itu kami juga melihat kerjasama ini mungkin dapat dilakukan lagi pada masa akan datang,” katanya.

 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http:s//shopee.com.my/m/jom-experience-penang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : EDMUND LEE TATT WENG