MBSP utamakan kebajikan kakitangan termasuk yang bersara

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited untuk meningkatkan penjagaan kebajikan kakitangan terutama dari segi rawatan perubatan termasuk mereka yang telah bersara.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata terbaru pihaknya telah mencapai persetujuan dengan Hospital Seberang Jaya untuk mempercepatkan rawatan bagi kakitangannya yang menghidap strok.

Pesara MBSP menunjukkan sijil dan jam tangan yang diterima sebagai tanda kenang-kenangan.

“MBSP telah mencapai persetujuan dengan Hospital Seberang Jaya bagi mempercepatkan rawatan kepada pekerja kita yang perlu menjalani prosedur trombektomi endovaskular di hospital-hospital swasta.

“Melalui inisiatif ini, doktor pakar di Hospital Seberang Jaya akan mengesahkan bahawa pekerja kita memerlukan rawatan ini dan kakitangan terbabit akan terus dihantar ke hospital swasta (Hospital Pantai) dalam kadar segera.

“(Dan) sekiranya disahkan, pihak MBSP akan membiayai sepenuhnya kos bagi rawatan tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program Jasamu Dikenang dekat sini pada 16 November lalu.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP, pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Sebelum itu, dalam ucapannya Rozali berkata bahawa MBSP menghargai jasa serta sumbangan 92 kakitangannya termasuk sembilan yang meninggal dunia akibat COVID-19 sepanjang perkhidmatan mereka.

Belia berkata, kakitangan merupakan asset yang penting dan perlu sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan.

Sr. Rozali Mohamud (dua dari kanan) menyantuni kakitangan MBSP yang bersara pada tahun ini.

“Tanpa penglibatan dan sokongan mereka, MBSP tidak dapat menempa nama dan terus gemilang menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cemerlang.

“Amalan kerja berprestasi tinggi menghasilkan impak cukup baik apabila permasalahan rakyat dan perbandaran diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan warga kerja MBSP tidak terbalas dan tetap terpahat di hati,” ujarnya lagi.

Difahamkan, seramai 92 kakitangan yang bersara bagi tahun 2021 dirai dalam majlis itu yang terdiri daripada 40 orang pesara wajib, 10 pesara pilihan dan 41 orang lagi telah meninggal dunia.

Pada majlis tersebut, pesara dan juga waris menerima sijil penghargaan dan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan di atas perkhidmatan mereka selama bertugas dengan PBT itu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS