Kolaborasi semua pihak penting demi agenda pembangunan sukan – Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menyeru agar agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dapat berkolaborasi ke arah pembangunan sukan Pulau Pinang yang mampan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memberi perhatian untuk menjayakan agenda pembangunan sukan negeri.

Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) serta persatuan-persatuan sukan yang ada sentiasa memastikan agenda pembangunan sukan terus dimajukan.

“Namun, saya percaya masih banyak ruang yang boleh diperbaiki termasuk berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan, badan korporat, persatuan sukan serta NGO untuk membawa kemajuan serta kejayaan dalam bidang sukan sama seperti bidang-bidang lain.

MOHD. Nazifuddin Mohd. Najib (kiri sekali) menyarungkan jaket yang menjadi kebanggaan atlet Malaysia kepada Ketua Menteri.

“Selepas dua tahun berhempas-pulas dengan situasi pandemik COVID-19, usaha kini tertumpu ke arah untuk memulihkan pencapaian sukan tahan air.

“Banyak cabaran (yang perlu ditempuhi), namun kita mesti teruskan usaha untuk mencapai lebih banyak kejayaan terutama dalam melahirkan bakat-bakat (pelapis) dalam bidang berkenaan,” ujarnya pada Majlis Jamuan Penghargaan Penganjuran Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 di sini pada 23 Jun 2022.

Turut berucap pada majlis sama ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Menyentuh mengenai pembangunan pelapis sukan, Kon Yeow mengambil contoh sukan badminton yang mana kini giat melahirkan pemain pelapis bertaraf antarabangsa.

Memupuk bakat sukan mestilah dari usia muda, malah dari bangku sekolah lagi.

“Ada negara yang melahirkan pelapis seperti sebuah kilang bakat sukan.

“(Dan) kita boleh mengambil contoh untuk melahirkan pelapis sukan pada masa hadapan dalam pelbagai lapangan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat sama dalam membangunkan sukan di negeri ini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib; mantan Naib Presiden MOM, Dato’ Ong Poh Eng; tokoh-tokoh sukan; perwakilan MOM; persatuan-persatuan sukan dan para penaja sambutan Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang tahun ini.

BARISAN penaja yang menjayakan Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang turut menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 ‘Together for a Peaceful World‘ dipilih sebagai tema sambutan Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 dan pelbagai acara telah berlangsung dengan jayanya sejak pertengahan Mei lalu.

Sebagai makluman, penganjuran Karnival Olimpik Komuniti Pulau Pinang 2022 bukan sahaja untuk meraikan Sambutan Hari Olimpik Sedunia, malah juga bertujuan mempromosi serta menyemai semangat ‘Sukan Untuk Semua’ dalam masyarakat di negeri ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar & Video : ALISSALA THIAN