Peraturan baharu uji kemahiran atlet silat olahraga negeri – Shuhairi Chin

Admin

‘EDISI Khas 2022’ Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 24 September ini sudah tentu dinanti-nantikan terutama selepas temasya kejohanan tahunan negara itu tertangguh selama kira-kira dua tahun dek pandemik COVID-19.

Bagi acara silat olahraga, harapan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas sebagaimana rekod pencapaian dalam SUKMA 2018 diletakkan atas pundak lima atlet negeri Pulau Pinang.

SHUHAIRI Chin (empat dari kiri), Abdul Hafidz Marzuki (tiga dari kiri) bersama-sama empat daripada kesemua lima atlet sukan silat olahraga negeri sempena SUKMA Edisi 2022.

Bak ‘ayam tambatan’, atlet berkenaan adalah Muhammad Arif Danial Amril Nurman, 17, Mohamad Ridzuan Abdullah, 21, Mohamad Hafiz Halim, 21, Nurfatin Husna Mohammad Fairuz, 16, dan Nurul Nadya Abdul Hafif, 16.

Bertempat di Tepian Gelanggang Silat yang terletak berhampiran Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dekat Batu Uban, wartawan Buletin Mutiara ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berkesempatan turun menyaksikan persiapan mereka dalam memburu kejuaraan pada kejohanan yang kian kunjung tiba.

Selama hampir 30 minit selepas memimpin sesi memanaskan badan sekalian atlet, Ketua Jurulatih Silat Negeri, SHUHAIRI CHIN, 37, meluangkan masa untuk ditemu ramah.

Wawancara tersebut turut disertai oleh Penolong Jurulatih Silat Negeri, Abdul Hafidz Marzuki, 32 .

Menurut Shuhairi yang lebih mesra dipanggil ‘Coach JJ’, sesi latihan sepenuh masa bagi memburu pingat dalam SUKMA Edisi 2022 pada peringkat negeri boleh dikatakan bermula agak lewat, iaitu pada bulan April lepas.

Bagaimana pun, dengan bantuan Penolong Jurulatih serta beberapa pegawai lain, beliau berharap sesi latihan yang diadakan sehingga bulan September ini akan membuahkan hasil kepada kontinjen negeri, seperti yang disasarkan.

“Sekarang, kita dalam fasa akhir persiapan yang mana para atlet menjalani latihan sepenuh masa.

“Tumpuan latihan juga mengambil kira teknik-teknik baharu berdasarkan (peraturan pertandingan) yang dikeluarkan oleh PERSILAT (Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa) dan PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia).”

ANTARA gambar aksi latihan teknik jatuhan berdasarkan peraturan baharu pertandingan yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.
AKSI jatuhan dengan menggunakan teknik ‘lipat gunting’ dan menarik lawan ke lantai secara serentak antara peraturan baharu yang dibenarkan dalam acara silat olahraga SUKMA Edisi 2022 pada September nanti.

CABARAN DI MEDAN LATIHAN

Hampir sembilan tahun menjadi jurulatih pesilat negeri, Shuhairi mengakui bahawa persiapan menempuhi saingan SUKMA Edisi 2022 begitu menguji pengalaman peribadi beliau di medan latihan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam pelbagai kekangan termasuk dari segi masa sebelum kejohanan, beliau perlu memastikan para atlet cepat menguasai teknik-teknik jatuhan atau bantingan, berdasarkan peraturan baharu yang dibenarkan oleh PERSILAT dan PESAKA untuk acara silat olahraga.

Baginya, peraturan baharu itu menjadikan acara silat olahraga ‘lebih ganas’, terbuka serta kian menarik ala mempertahankan diri campuran (MMA) yang kian popular pada peringkat dunia kini.

Difahamkan, peraturan lama sukan silat olahraga membenarkan saingan disuraikan selepas enam serangan berturut-turut, lalu juri atau wasit akan membawa kedua-dua atlet ke tengah gelanggang untuk meneruskan saingan.

Tetapi, berdasarkan peraturan baharu silat olahraga, kedua-dua atlet dibenarkan melakukan serangan bertali arus selama satu minit tanpa henti.

Selain itu, peraturan baharu silat olahraga seakan-akan mirip MMA kerana turut membenarkan tumbukan ‘Superman’, tarik dan pukul, pukul di bahagian belakang vest, pukulan tangan belakang, lompat dan menyiku ke vest serta membuat kuncian.

“Dalam peraturan lama, menarik jatuh pesaing adalah suatu kesalahan, tetapi kini (berdasarkan format pertandingan baharu) semua teknik tarikan untuk menjatuhkan pesaing adalah dibenarkan.

“Beberapa peraturan baru bersifat ‘lebih ganas’, ekstrem, teras lasak (hardcore) yang sudah tentu memberi saingan dari segi fizikal dan kelincahan kepada para atlet kita.

“Katakan ada 10 peraturan baharu (yang dibenarkan), kalau atlet kita boleh menguasai dua atau tiga teknik bagi memburu mata kemenangan dalam sesi latihan sepenuh masa ini (sebelum SUKMA Edisi 2022 pun), bagi saya ia sudah memadai,” jelasnya dalam nada sederhana.

SALAH seorang atlet sedang menjalani sesi pemanas badan dan ketahanan stamina di Tepian Gelanggang Silat di sini.

TUMPUAN

Selain kekuatan mental, Shuhairi berpendapat para atlet yang sedang menjalani latihan sepenuh masa juga mesti mempunyai fizikal yang lasak, menguasai teknik tempur ala silat olahraga serta stamina yang tinggi untuk menewaskan pesaing.

“Untuk menjatuhkan pesaing, apabila peraturan baru membenarkan semua teknik tarikan, maka sesi latihan sepenuh masa yang saya laksanakan sejak bulan April lepas lebih menumpukan kepada aspek ketahanan dan kelasakan fizikal serta stamina.

“Untuk menjatuhkan pesaing dengan pelbagai teknik tarikan juga memerlukan stamina dan ketahanan, untuk mengelak jatuhan daripada percubaan pesaing juga memerlukan stamina dan ketahanan,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu kelima-lima atlet SUKMA Edisi 2022 menjalani latihan sepenuh masa selama lima setengah jam setiap hari kecuali Ahad, iaitu sesi pertama selama satu setengah jam pada awal pagi, disusuli sesi kedua (10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari) dan sesi ketiga (5.00 petang hingga 7.00 malam).

PENGALAMAN SEBAGAI BEKALAN

Pada kesempatan itu juga, Buletin Mutiara turut cuba merisik pengalaman serta rekod kejayaan peribadi Shuhairi sehingga diberi kepercayaan untuk memimpin pasukan atlet silat olahraga negeri.

SHUHAIRI Chin

Pada mulanya Shuhairi enggan berkongsi kisah kejayaannya dalam acara ini, namun setelah dipujuk, beliau mengalah juga dalam perasaan serba sederhana.

Dalam nada seloroh, Shuhairi memberitahu bahawa beliau pernah mewakili negeri ke SUKMA 2008 dan pernah mengalami kecederaan pada ligamen ‘anterior cruciate’ (ACL).

Bukan setakat itu sahaja, Shuhairi memberitahu bahawa beliau pernah tiga kali mewakili negara dalam Sukan SEA selain Kejohanan Silat Sedunia 2007.

“Saya mendapat pingat gangsa dalam Kejohanan Silat Sedunia 2007 dan Sukan SEA 2009 di Laos… Sukan SEA Manila 2005 ‘saya tak dapat apa-apa (pingat)’ dan Sukan SEA Korat 2007 ‘saya dapat dua jarum’ (sambil menunjukkan parut pada bibir kiri yang terkoyak akibat ditumbuk pesaing semasa saingan).

“(Selepas mengalami kecederaan ACL pula,) saya masih dalam pasukan kebangsaan, dalam tempoh 10 hingga 11 bulan menjalani sesi pemulihan, saya diminta menyertai dua kejohanan untuk (pengesahan) sama ada saya layak atau tidak (mewakili negara) ke Sukan SEA.

“Alhamdulillah… saya mendapat pingat emas dalam Kejohanan Silat Terbuka Malaysia (di Kuala Terengganu , Terengganu) dan pingat gangsa dalam ‘Indo-Games’ di Vietnam, sebelum ke Sukan SEA Laos 2009 dan dapat pingat gangsa juga,” jelasnya sebelum dilantik menjadi jurulatih negeri.

Baginya, segala pengalaman sebagai atlet silat olahraga sebelum ini adalah bekalan paling berharga untuk melatih sekalian atlet sekarang termasuk 20 tunas muda lain di bawah Program Pembangunan Sukan Silat Olahraga Negeri.

ANTARA tunas muda berusia 7 tahun di bawah Program Pembangunan Sukan Silat Olahraga Negeri MSNPP sedang  dipakaikan ‘vase’  sebelum menjalani sesi latihan sama seperti atlet lain di sini tadi.

PROGRAM PEMBANGUNAN SUKAN

Tanpa menoleh ke belakang, Shuhairi memberitahu bahawa kini beliau turut memberi komitmen untuk menjayakan Program Pembangunan Sukan Silat Olahraga Negeri, sebagaimana ditaklifkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

“Penyertaan adalah percuma sama ada di pusat latihan negeri di sini ataupun di pusat-pusat latihan daerah.

“Paling penting, peserta yang hendak sertai program ini perlu memberikan komitmen dari segi masa untuk turun latihan, dan lazimnya komitmen yang tinggi dalam bentuk sokongan turut datang daripada waris-waris mereka.

HARAPAN

Mengakhiri sesi wawancara, Shuhairi memberitahu sekali lagi bahawa pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas, dengan mengambil kira rekod pencapaian pasukan silat negeri dalam SUKMA 2018.

“Pada SUKMA 2018, Mohamad Hafiz Halim mendapat pingat emas (sementara) Mohamad Ridzuan Abdullah mendapat pingat perak (dalam kategori masing-masing).

“Dengan izin Allah, pada SUKMA (Edisi 2022) kali ini, kita akan cuba kekalkan pencapaian itu… sekurang-kurangnya dapat satu pingat emas dan kalau dapat lebih pingat, Alhamdulillah itu adalah bonus,” katanya sambil menganggap saingan daripada beberapa pasukan negeri terpilih pada kali ini dijangka lebih sengit ekoran dua tahun temasya peringkat kebangsaan tersebut tidak dianjurkan.