SELEPAS berjaya memperluaskan pasaran produk utama biskut Kolca, Kolca Evergreen kini tampil dengan satu lagi juadah warisan keluarga iaitu kuih Arabica Sujee atau lebih dikenali sebagai kuih suji.
Pemilik Kolca Evergreen, NUR SHAHIDA ABDUL ARAFF, 39, berkata penghasilan kuih tersebut merupakan usaha untuk memperkenalkan semula makanan tradisional yang semakin dilupakan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, kuih suji merupakan pencuci mulut yang cukup popular dalam kalangan masyarakat George Town atau dahulu dikenali sebagai Tanjung, namun kini semakin sukar ditemui.
“Kuih Arabica Sujee ini merupakan resipi keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun dan saya memilih untuk menghasilkannya kerana tidak ramai yang masih menjual kuih ini.
“Pada masa sama, saya mahu memperkenalkan semula makanan warisan ini kepada generasi muda supaya terus kekal dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, LAW SUUN TING ketika ditemui di premis perniagaan Kolca Evergreen dekat Taman Free School pada 25 Jun 2025.
Beliau menjelaskan bahawa kuih suji mempunyai tekstur lembut dan berkrim serta dihasilkan menggunakan bahan-bahan mudah diperoleh seperti tepung suji, minyak sapi, gula, susu, susu pekat manis, kismis, daun pandan dan sedikit perisa ros.
Menurutnya, kuih tersebut turut boleh dipelbagaikan dengan penggunaan bahan premium seperti kurma, ceri, kacang badam, kacang gajus dan pistachio mengikut cita rasa pelanggan.
Bagaimanapun, Nur Shahida memilih menggunakan ramuan asas bagi memastikan harga jualan kekal mampu milik.

“Jika menggunakan bahan premium, harganya mungkin boleh mencecah RM10 sebekas.
“Jadi saya memilih bahan asas tetapi tetap mengekalkan rasa asli dan tekstur yang lembut serta berkrim,” katanya.
Kini, kuih Arabica Sujee dijual pada harga RM4 sebekas, manakala tempahan khas dengan bahan tambahan istimewa ditawarkan pada harga berbeza.
Menurut Nur Shahida, sambutan terhadap kuih tersebut semakin menggalakkan walaupun ramai pelanggan pada awalnya tidak mengenali juadah berkenaan.
“Apabila mereka mencuba buat kali pertama, kebanyakan pelanggan memberikan maklum balas positif dan menyatakan rasanya sangat sedap.
“Selepas hampir setahun diperkenalkan, permintaan daripada masyarakat setempat semakin meningkat,” ujarnya.
Beliau berkata, kuih suji hanya mampu bertahan selama dua hingga tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk kerana ia merupakan makanan sedia dimakan tanpa bahan pengawet.
Keadaan itu menyebabkan pemasarannya ketika ini tertumpu di sekitar Gelugor dan kawasan berhampiran.


Dalam sehari, Kolca Evergreen menghasilkan kira-kira 20 bekas kuih suji dan kebanyakannya habis dijual pada hari yang sama.
Selain dipasarkan melalui premis vendor, tempahan turut diterima menerusi aplikasi WhatsApp dan platform media sosial seperti TikTok dengan penghantaran menggunakan perkhidmatan Lalamove.
“Kuih suji sesuai dinikmati oleh semua lapisan umur kerana teksturnya yang lembut dan berkrim.
“Permintaannya juga tidak bermusim berbanding biskut Kolca yang biasanya mendapat sambutan tinggi ketika musim perayaan,” katanya.
Mengulas perkembangan perniagaannya, Nur Shahida berkata beliau mula menghasilkan produk Kolca dari rumah kira-kira sembilan tahun lalu dengan bantuan ahli keluarga sebelum menyewa premis di Taman Free School sejak setahun lalu.

Katanya, penglibatan dalam program People Centric@Penang anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjadi titik tolak perkembangan perniagaannya.
Selepas menamatkan program tersebut, beliau menerima bantuan peralatan termasuk dapur, mesin pengadun, dulang industri serta geran bernilai RM4,000 bagi membantu meningkatkan pengeluaran.
Kini, beliau turut memohon bantuan peralatan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperkukuhkan lagi kapasiti pengeluaran.

Dalam pada itu, Nur Shahida berkata beliau sedang mengikuti kursus halal dan berharap produk biskut Kolca memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun hadapan.
Menurutnya, pensijilan tersebut penting bagi membolehkan produk dipasarkan secara lebih meluas termasuk di rangkaian pasar raya besar.
Bagi kuih Arabica Sujee pula, beliau merancang menggunakan teknologi retort bagi memanjangkan jangka hayat produk dan membolehkan ia dipasarkan ke seluruh Pulau Pinang termasuk Seberang Perai.
Selain itu, beliau turut memasang impian untuk menjadi tenaga pengajar serta menganjurkan kursus berkaitan penyediaan makanan warisan keluarga.
Selain biskut Kolca dan kuih Arabica Sujee, Kolca Evergreen turut menghasilkan pelbagai pencuci mulut lain seperti puding karamel dan sagu gula Melaka.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan menerusi talian 017-575 1051 atau melalui platform Facebook dan TikTok Kolca Evergreen.