Produk halal domestik berpotensi tembus pasaran negara gergasi global terutama China – Exco

Admin
f9667e0a b9dc 4806 b20e 0d0d5bf32f61 GOH Choon Aik (duduk, tengah) merakamkan gambar dengan sekalian peserta kursus Export Marketing for Agro Products 2026 di pejabat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara Semenanjung Malaysia di sini pada 25 Jun 2026.

BERTAM – Persijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global meletakkan produk agromakanan tempatan pada kedudukan terbaik untuk menerokai pasaran gergasi dunia, terutamanya di negara Republik Rakyat China dan rantau Timur Tengah.

9af430f0 8f9c 437e b2ea 3524bc75c6cb
GOH Choon Aik

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, meskipun negara Republik Rakyat China mempunyai kepelbagaian produk domestik yang murah, golongan kelas menengah dan atasan di negara berkenaan amat menitikberatkan aspek keselamatan makanan bagi produk import termasuk dari Malaysia.

Menurut beliau, situasi tersebut membuka ruang yang amat luas kepada usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dari Pulau Pinang untuk mengeksport produk agro makanan mereka yang telah diiktiraf halal.

“Kita mempunyai satu kelebihan iaitu persijilan halal kita diiktiraf di seluruh dunia (yang mana) bagi pasaran Muslim (di China), persijilan halal Malaysia masih lagi menjadi keutamaan.

“Malah, selepas ucapan saya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, pengusaha belacan dari Balik Pulau juga telah mencari saya untuk membantu mereka mendapatkan persijilan halal bagi meluaskan pasaran ke China dan Timur Tengah,” katanya ketika merasmikan kursus Export Marketing for Agro Products 2026 di pejabat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara Semenanjung Malaysia di sini pada 25 Jun 2026.

3f12381a fd49 4179 a9e0 c59378461c2b
MOHD. Hafiz Nurulhuda

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda turut berucap dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Wilayah Utara, Har Man Ahmad; Pengarah Wilayah MPC, Mohamad Azrol Mohamad Dali dan Business Coach Kasyifah Resources Management, Ts. Dr. Hussaini Zaini.

Mengulas lanjut, Choon Aik mendedahkan bahawa prestasi perdagangan Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga April 2026 menunjukkan angka yang amat luar biasa, dengan nilai eksport mencecah RM259.64 bilion iaitu meningkat 51.2 peratus; serta mencatatkan lebihan dagangan (surplus) sebanyak RM110.67 bilion.

Walau bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa sebanyak 78.4 peratus daripada nilai eksport tersebut masih didominasi oleh industri barangan elektrik dan elektronik (E&E), kejuruteraan serta kelengkapan pengangkutan.

“Ini bermakna, terdapat ruang yang sangat besar untuk kita terokai dalam sektor eksport agromakanan. Kita sudah ada laluan akses ke pasaran ekonomi terbesar dunia seperti Amerika Syarikat dan China.

“Kini tiba masanya untuk usahawan agromakanan kita mengambil peluang ini bagi memantapkan produk mereka ke peringkat antarabangsa,” jelasnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun.

Dalam pada itu, Choon Aik turut mengingatkan para usahawan tempatan agar mengubah mentaliti dan meningkatkan kesiapsiagaan dari segi pensijilan kualiti serta produktiviti.

Beliau berkongsi pengalaman mengenai ketidakupayaan sebahagian besar vendor tempatan untuk memenuhi kriteria pelabur asing (FDI) disebabkan ketiadaan pengiktirafan rasmi seperti ISO 9001 atau pensijilan berkaitan persekitaran kerja (green room).

“Apabila kami mengemukakan senarai 50 syarikat tempatan kepada sebuah syarikat FDI di bawah InvestPenang (EBS Penang), hanya 10 syarikat sahaja yang layak.

“Kerajaan Negeri sudah membuka jalan dan peluang, namun sebahagian besar IKS kita didapati belum bersedia dari segi kelayakan teknikal, manakala sebahagian lagi kurang serius,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi-agensi pembangunan perdagangan seperti MATRADE, FAMA, MPC, dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk terus memperkasakan program bimbingan bagi mendidik usahawan tempatan dari segi teknologi, pengetahuan pasaran serta perubahan mentaliti.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD IQBAL HAMDAN