Komited jana pendapatan baharu pacu pembangunan negeri

GEORGE TOWN – Sumber pendapatan baharu merupakan antara salah satu daripada lapan bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri komited dan serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi pelbagai sumber demi memacu pembangunan negeri secara menyeluruh.

Beliau berkata, antara usaha diambil adalah melalui inisiatif syarikat minyak dan gas multinasional negara yang sedang menjalankan kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka.

“Kaji selidik ini adalah untuk mengeksplorasi dan pemetaan hidrokarbon seismik membabitkan sumber minyak serta gas berkualiti tinggi yang kini sedang dijalankan di perairan Pulau Pinang dan dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

“Saya dimaklumkan bahawa syarikat minyak dan gas multinasional negara yang merupakan pihak yang menjalankan kajian berkaitan akan membentangkan hasil penemuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang kelak,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Selain itu menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri turut mencari pendekatan untuk beralih kepada Peralihan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan kini.

“Walaupun sistem bekalan elektrik semasa yakni sistem grid mendominasi secara keseluruhan membabitkan pelbagai sektor, namun sumber baharu seperti solar fotovoltan, hidrogen serta beberapa sumber bekalan tenaga ke arah mencapai tenaga hijau turut berada dalam perancangan.

“Malah, Kerajaan Negeri juga merancang untuk membina ladang solar, solar terapung dan solar atas bumbung di lokasi-lokasi strategik pada tempoh tahun 2024 sehingga 2030 bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida selain menggunakan pendekatan TBB membabitkan lokasi-lokasi industri padat.

“Bagi premis kerajaan, pelaksanaan pemasangan solar atas bumbung juga bakal dilaksanakan pada tempoh sama dengan sasaran penjimatan 30 hingga 40 peratus bil elektrik berbanding kini,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa dalam bidang hartanah, sains dan teknologi pula, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) adalah digalakkan untuk terus menerokai sumber-sumber baharu.

“Penekanan ini tertumpu dengan meningkatkan ‘capacity building’ dalam kalangan pegawai-pegawai dilatih supaya dalam tempoh tahun kemudian, sektor berkenaan dapat membawa peningkatan pulangan demi merealisasikan gagasan Visi Penang2030,” ulasnya.

Sebelum itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Belanjawan Pulau Pinang 2024 memperuntukkan sejumlah RM1.047 bilion bagi perbelanjaan mengurus iaitu meningkat sebanyak RM58.13 juta berbanding tahun 2023.

Katanya, peningkatan Perbelanjaan Mengurus antara lain disebabkan oleh komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempergiat program-program yang berorientasikan rakyat, selain mengimbangi keperluan projek-projek pembangunan negeri.

“Walau bagaimanapun, peningkatan belanja mengurus ini adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan secara berhemat.

“Buktinya, sehingga 15 November 2023, perbelanjaan mengurus sebenar adalah sebanyak RM709.20 juta dan dijangka jauh berkurang berbanding unjuran perbelanjaan mengurus tahun semasa berjumlah RM989.47 juta,” jelas beliau.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2024 adalah berjumlah RM533,077,255, bertambah sebanyak RM10.73 juta (2.05 peratus) berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 berjumlah RM522.35 juta.

“Komposisi hasil tahun 2024 terdiri daripada hasil cukai RM167.91 juta (31.50 peratus), hasil bukan cukai RM277.92 juta (52.13 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM87.24 juta (16.37 peratus).

“Peningkatan utama hasil sebanyak RM10.73 juta yang dijangkakan pada tahun 2024 adalah disebabkan oleh peningkatan unjuran hasil cukai, terutama cukai langsung dan juga hasil bukan cukai.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri dari semasa ke semasa, dan sebagai makluman Kerajaan Negeri telah mengutip sejumlah RM496.17 juta hasil secara keseluruhan,” ujarnya.

Menurut Kon Yeow, bajet kali ini menyaksikan defisit sebanyak RM514.53 juta berbanding jangkaan hasil tahun 2024 iaitu bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding defisit tahun 2023 berjumlah RM467.12 juta.

“Namun mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam bajet 2024 akan dibiayai daripada rizab Kerajaan Negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki RM1.67 bilion pada 15 November 2023,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa bajet bagi tujuan pembangunan pula adalah berjumlah RM374.72 juta yang disalurkan melalui sembilan jabatan negeri.

“Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan adalah melibatkan punca negeri berjumlah RM353.12 juta dan pemberian Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM21.60 juta.

“Bajet pembangunan tahun 2024 meningkat sebanyak RM47.96 juta atau 14.68 peratus berbanding tahun 2023 berjumlah RM326.76 juta.

“Peruntukan tertinggi adalah sebanyak RM197.76 juta merangkumi projek Gurney Bay (RM80 juta), Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang (RM15.3 juta), PTMP (RM21.23 juta), Pembangunan Rancangan Perumahan Murah (RM6 juta), Projek Khas Ekonomi (RM15.05 juta) dan lain-lain projek pembangunan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pinjaman kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi menampung sebahagian kos projek GBS By The Sea berjumlah RM15 juta pada tahun 2024,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR, AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS