Kompleks Hutan Simpan Paya Laut Penaga akan dicalonkan sebagai ‘Flyway Site Network’ EAAFP

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam rangka untuk mencalonkan Kompleks Hutan Simpan Paya Laut dekat pesisir pantai Penaga sehingga ke Teluk Air Tawar sebagai kawasan ‘Flyway Site Network’ atau sebuah tapak persinggahan burung-burung pantai hijrah di bawah forum East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP).

Semasa membentangkan Bajet 2024 Negeri, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sekiranya berjaya, Pulau Pinang bakal mempunyai sebuah kawasan ‘Flyway Site Network’ pertama di Semenanjung Malaysia dan kedua dalam negara selepas Bako-Buntal Bay Flyway Site Network di negeri Sarawak.

“Usaha melestarikan khazanah ini akan mampu mewujudkan sebuah destinasi ekopelancongan yang baharu di negeri ini di samping membuka ruang serta peluang ekonomi baharu kepada warga komuniti dan masyarakat di sekitar kawasan tersebut,” jelasnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 24 November 2023.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa kawasan Beting Tengah (Middle Bank) di Pulau Pinang merupakan satu kawasan yang sangat kaya dengan biodiversiti marin.

Kata Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, Pulau Gazumbo dekat Selat Melaka yang menjadi taburan rumput laut luas dengan pelbagai spesies.

“(Di kawasan-kawasan berkenaan) terdapat pelbagai jenis ikan, kerang, ketam dan makanan laut lain yang menjadi sumber makanan kepada masyarakat di kawasan tersebut.

“Menyedari ancaman serta kepentingan kawasan ini daripada aspek ekonomi dan estetika bagi negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar kawasan Middle Bank ini dilindungi dan dijenamakan sebagai Santuari Marin Middle Bank.

“Kejayaan pewartaan Middle Bank kini dalam cadangan untuk diwartakan bagi melindungi spesies yang terdapat di kawasan tersebut.

“Sekiranya berjaya diwartakan, ini akan menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai santuari marinnya sendiri,” ujarnya.

Difahamkan, sesi perbahasan Bajet 2024 Negeri Pulau Pinang dijadualkan pada 27 November ini hingga 1 Disember ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHMAD AMIR IRSYAD OMAR