Komited selenggara kemudahan Kompleks Jalan Kedah simbol sayangi penduduk – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (berdiri, tengah) diiringi Abdul Wahab Shaik Maidin (berdiri, kanan) menyantuni dua orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kompleks Jalan Kedah di sini pada lewat petang tadi.

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam kalangan kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) yang menghuni Kompleks Jalan Kedah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian sebelum menyampaikan cek replika RM5,500 kepada Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah untuk tujuan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat lokal di sini pada 24 Januari 2021.

“Pejabat (Pusat Khidmat ADUN Padang Kota) akan terus cuba melayani segala permohonan untuk menaik taraf flat (Kompleks) Jalan Kedah yang sebelum ini memang menghadapi pelbagai isu berkaitan keselamatan, kebersihan dan keadaan bangunan yang semakin uzur (selepas) dibina sejak pertengahan tahun 1980-an.

“Saya percaya Kompleks Jalan Kedah yang paling banyak menerima perhatian saya; semestinya peruntukan pun paling banyak diberikan untuk kawasan ini…sejak saya menjadi wakil rakyat pada tahun 2008.

“Ini tanggungjawab kami (sebagai Kerajaan Negeri) kepada rakyat yang kami sayangi.

“Sehubungan itu, marilah bersama-sama kita (sekalian penduduk Kompleks Jalan Kedah) memberi kerjasama kepada persatuan penduduk dan badan pengurusan bagi memelihara serta memulihara kawasan perumahan (berstrata) dI tengah-tengah bandar raya George Town ini,” jelasnya.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng turut sertai majlis keraian yang dilangsungkan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Sebelum itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Maidin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri baru-baru ini telah meluluskan peruntukan berwajib di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) untuk menaik taraf dua unit lif di taman perumahan berstrata tersebut.

Pun begitu, beliau memberitahu bahawa badan pengurusan menghadapi ‘sedikit’ kekangan kewangan bagi membiayai baki kos projek penyelenggaraan tersebut dan akan membuat permohonan berkaitan kepada Pusat Khidmat ADUN Padang Kota dalam masa terdekat ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR