Ketua Menteri puji prestasi cemerlang PDRM Pulau Pinang dalam Op Selamat Ke-18

Admin

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji prestasi cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai kontinjen terbaik bagi Op Selamat Ke-18 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Beliau berkata, lebih membanggakan lagi apabila Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut turut menerima penganugerahan Daerah Kelima Terbaik dalam kalangan 158 IPD di seluruh negara.

Selain menjamu selera, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian.

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada PDRM (Kontinjen) Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai kontinjen terbaik dalam Op Selamat Ke-18 baru-baru ini.

“Saya sangat menghargai kerjasama PDRM khususnya semasa pandemik COVID-19 dalam memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa dengan ketat.

“Pada tempoh ini juga, indeks jenayah turut dilaporkan menurun dengan sangat ketara.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama bertekad untuk terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya dalam memulihkan ekonomi termasuk sektor pelancongan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Balai Polis Lebuh Pantai di sini sebentar tadi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Soffian Santong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP serta Ketua Balai Polis Lebuh Pantai, Inspektor Abd. Basir Hashim.

Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily ketika ditemui Buletin Mutiara menjelaskan bahawa Pulau Pinang menunjukkan penurunan terbaik dalam aspek kemalangan jalan raya, kemalangan maut dan kes pecah rumah dalam tempoh 10 hari Op Selamat Ke-18 dijalankan.

“Dalam konteks ini, Pulau Pinang menunjukkan penurunan terbaik berbanding 14 kontinjen lain dan IPD Timur Laut pula menunjukkan prestasi kelima terbaik daripada 158 IPD di seluruh negara.

“Semua ini dapat dikecapi dengan perancangan rapi oleh Ketua Polis Daerah dan ketua-ketua jabatan yang telah mengambil maklum bahawa akan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya semasa musim perayaan,” ujarnya lanjut.

Difahamkan, Op Selamat dilaksanakan pada 29 April sehingga 8 Mei 2022 yang memfokuskan kepada operasi penguatkuasaan bagi memastikan kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI