Komitmen ADUN Air Itam demi rakyat kawasan

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyifatkan projek penyambungan dan pembinaan sebuah jambatan di Jalan Zoo merupakan berita baik kepada masyarakat setempat di sini.

Katanya, projek tersebut bukan sahaja bakal dimanfaatkan penduduk setempat, malah dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak.

“Projek ini bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Selain itu, projek tebatan banjir Sungai Pinang turut akan dilaksanakan, yang mana secara tidak langsung akan mengurangkan risiko banjir di kawasan Sungai Air Itam.

“Malah, saya sendiri telah membuat permohonan kepada pihak Majlis (MBPP) untuk menaik taraf Taman Poket di Kampung Pisang dan Jalan Zoo bagi aktiviti riadah masyarakat di sini,” ujarnya pada penganjuran Karnival Komuniti ‘Go Green’ Bukit Gelugor yang diadakan di Padang Desa Mawar, Farlim di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta Ahli-ahli Majlis MBPP, Syerleena Abd. Rashid dan D.R. Kala.

Kira-kira 200 penduduk setempat memeriahkan penganjuran karnival tersebut.

Hon Wai dalam pada itu turut memaklumkan kepada penduduk Desa Mawar bahawa Kerajaan Negeri kini mengotakan janji dengan tidak mengenakan cukai taksiran buat dua tahun berturut-turut kepada pemilik unit rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan rumah kampung.

“Ini secara tidak langsung menjadikan lima blok Desa Mawar dan Rumah Pangsa Kampung Melayu layak mendapat pengecualian cukai taksiran ini.

“Malah, saya sendiri bersama-sama Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah pruntukan untuk menukar sebuah lif baharu di Blok 1, di sini (Desa Mawar),” katanya merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.