Ahli Majlis cadang tiga pendekatan mantap industri sukan air negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abd. Rashid baru-baru ini membentangkan tiga cadangan untuk memantapkan lagi industri sukan air di Pulau Pinang terutamanya membabitkan sukan parasailing yang semakin popular kini.

Syerleena berkata, langkah-langkah tersebut bukan sahaja untuk memantapkan industri sukan air, malah juga bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa.

“Langkah pertama adalah menetapkan had berat badan bersesuaian dengan tidak membenarkan pengguna melebihi berat untuk menaiki parasailing. Pada masa sama, pihak operator seharusnya menyediakan harness yang bersesuaian untuk keperluan setiap pengguna mengikut saiz badan mereka.

SYERLEENA Abd. Rashid.

“Kedua, operator seharusnya meneliti dan mempunyai maklumat arah tiupan serta kelajuan angin terlebih dahulu sebelum menaikkan pengguna parasailing.

“Yang terakhir, setiap bot penarik parasailing perlu dilengkapkan dengan seorang jurulatih atau operator selain pemandu bot bagi tujuan pemantauan,” ujarnya ketika membentangkan cadangancadangan berkaitan pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) MBPP yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Syerleena memberitahu, pada ketika ini, aktiviti sukan air kian meningkat seiring dengan perkembangan industri pelancongan yang memberangsangkan di Pulau Pinang.

Justeru, menurut beliau, pengendali sukan air perlu mempunyai pengalaman, kemahiran, pensijilan dan empati dalam memahami serta mengikuti garis panduan dan peraturan yang boleh menjamin keselamatan pengguna.

“Sejak 2008, pihak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah menggubal pelbagai peraturan positif untuk aktiviti sukan air, antaranya mengemas kini Enakmen Lancang Air Pulau Pinang 1999 yang telah dilaksanakan pada tahun 2009.

“Malah, pihak MBPP sendiri telah memperkenalkan zon-zon tertentu, mengasingkan kawasan di antara aktiviti sukan bermotor air dan kawasan riadah umum dan menempatkan anggota penguatkuasa MBPP di kawasan-kawasan khas,” jelas Syerleena.