Komitmen semua pihak jamin hasil padi tertinggi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

MANSOR Othman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan sambil diperhatikan oleh Asrol Sani (tiga dari kanan) dan Pengerusi JKKK Padang Benggali, Md. Hashim Ahmad (kanan sekali) pada Majlis Dialog dan Hi-Tea JKKK Padang Benggali Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan sambil diperhatikan oleh Asrol Sani (tiga dari kanan) dan Pengerusi JKKK Padang Benggali, Md. Hashim Ahmad (kanan sekali) pada Majlis Dialog dan Hi-Tea JKKK Padang Benggali Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

BERTAM – Produktiviti padi negeri Pulau Pinang yang mencatatkan pengeluaran tertinggi di dalam negara adalah hasil kerjasama Jabatan Pertanian Negeri, para pesawah dan Kerajaan Negeri yang sentiasa komited dalam memastikan usaha ke arah tersebut.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang pada Majlis Dialog dan Hi-Tea Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Padang Benggali Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Kata Choo Kiang, walaupun sektor tersebut menyumbang 2% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terdapat beberapa buah syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian di Pulau Pinang tersenarai dalam Bursa Saham.

Dalam pada itu, beliau juga memuji JKKK Padang Benggali, Pejabat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara kerana menganjurkan program seumpama itu yang bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat desa dengan kepimpinan Kerajaan Negeri, malah, turut membuka ruang pucuk pimpinan untuk menyelami permasalahan para pengusaha sawah, nelayan, peladang serta penternak.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras KADUN Bertam, Asrol Sani Abdul Razak, matlamat asas penganjuran program tersebut adalah untuk memberi peluang kepada petani, peladang, penternak dan nelayan untuk mengemukakan masalah dan sekaligus mengetahui landasan yang betul dalam mengemukakan permasalahan dihadapi.

Antara isu yang dibangkitkan dalam dialog yang berlangsung selama 45 minit tersebut adalah pembangunan dan penempatan nelayan, kemudahan-kemudahan yang diperoleh oleh para nelayan, sistem saliran dan peparitan di kawasan sawah padi dan ancaman siput gondang emas yang boleh menggugat pengeluaran padi.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah sumbangan hamper sempena Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di kawasan tersebut serta sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada keluarga yang berpendapatan rendah serta wakil golongan orang kelainan upaya (OKU) yang terlantar. Sumbangan hamper disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman.