MPSP ambil tindakan tegas terhadap alat pemancar haram

B A H A G I A N penguatkuasaan MPSP sedang menurunkan alat pemancar y a n g d i b i n a secara haram di sekitar kawasan Seberang Perai
BAHAGIAN penguatkuasaan MPSP sedang menurunkan alat pemancar yang dibina secara haram di sekitar kawasan Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Pembinaan alat pemancar haram tanpa kelulusan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang semakin berleluasa menimbulkan rasa khuatir dan takut kepada penduduk setempat di sekitar kawasan Seberang Perai.

Malah, desas-desus mengatakan akan berlakunya pilihanraya umum pada tahun ini menyebabkan lebih banyak syarikat mengambil kesempatan dengan mendirikan alat pemancar haram demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan penduduk di sekitarnya.

Setakat ini, banyak aduan telah diterima Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkenaan isu tersebut. Menurut aduan daripada masyarakat setempat, setiap minggu, terdapat beberapa syarikat yang mendirikan alat pemancar haram terutama di kawasan perumahan. Hal ini sangat membimbangkan kerana alat pemancar yang dibina tanpa lesen sukar dipantau oleh pihak berkuasa.

Selain itu, pembinaan alat pemancar yang tumbuh bagai cendawan juga boleh memudaratkan kesihatan jangka masa panjang penduduk di sekitarnya.

Mengikut statistik, sebanyak 100 saman telah dikeluarkan MPSP kepada syarikat yang gagal memohon permit sebelum mendirikan alat pemancar bermula tahun 2008 hingga Ogos 2011.

Jumlah tersebut terus meningkat dari semasa ke semasa ekoran keengganan dan sikap tidak bertanggungjawab syarikat yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain.

Lantaran itu, MPSP kini sedang giat melakukan siasatan berkenaan pembinaan alat pemancar haram terutama di kawasan Seberang Perai bagi membasmi kegiatan tidak bermoral berkenaan dari terus berleluasa. Jika didapati bersalah, MPSP tidak akan teragak-agak untuk menurunkan alat pemancar yang dibina secara haram dan saman maksimum akan dikenakan kepada syarikat terbabit.