SERI DELIMA – Peniaga yang terjejas akibat pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara di beberapa lokasi sebelum ini kini diberi peluang meneruskan perniagaan apabila dipindahkan ke tapak baharu di Kompleks Jalan Lembah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, peniaga yang menerima tapak di kompleks berkenaan bukanlah peniaga baharu, sebaliknya sebahagian besar daripada mereka merupakan peniaga lama yang berpindah akibat pelaksanaan projek pembangunan di kawasan asal.

Menurutnya, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah berusaha membantu golongan berkenaan supaya dapat meneruskan perniagaan mereka di lokasi baharu yang lebih sesuai.
Peniaga yang mendapat tapak di sini sebenarnya amat bertuah kerana terdapat ramai pihak lain yang turut berminat untuk berniaga di kompleks ini.
“Namun, proses pemilihan perlu dilakukan memandangkan jumlah pemohon yang ramai,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Jalan Lembah di sini pada 22 Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap semua peniaga dapat menghargai peluang yang diberikan selain bersama-sama menjaga kebersihan dan persekitaran kompleks tersebut.
Dalam pada itu, Hooi Peng turut merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Majlis, MBPP termasuk Tan Soo Siang, Rohaizat Hamid dan Muhamad Khairul Mohd. Ali yang banyak membantu sepanjang proses pemilihan peniaga.
Beliau berkata, proses pemilihan yang melibatkan sesi temu duga itu perlu dilaksanakan secara teliti berikutan jumlah permohonan yang diterima amat memberangsangkan.
Tambahnya lagi, majlis pada hari berkenaan lebih menjurus kepada penyerahan kunci kepada peniaga sebagai langkah awal sebelum mereka memulakan operasi sepenuhnya di tapak baharu.
Sebagai ADUN kawasan ini, saya akan terus berusaha mempromosikan Kompleks Jalan Lembah supaya lebih ramai pengunjung datang ke sini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan para peniaga.
“Saya juga berharap dapat kembali semula ke sini apabila semua gerai telah siap sepenuhnya dan beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh ketika berucap berkata, beliau berbesar hati dapat bersama-sama menghadiri majlis perasmian tersebut yang turut dihadiri Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. Rajendran.
Menurutnya, penyiapan projek tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam usaha menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk manfaat masyarakat setempat.
Sangat baik untuk melihat projek ini telah siap dan kemudahan yang lebih baik dapat disediakan untuk manfaat masyarakat setempat.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan berharap usaha untuk terus menambah baik kemudahan serta infrastruktur demi komuniti dapat diteruskan,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ADUN