Kon Yeow berpuas hati Ramadan semarak keharmonian rakyat berbilang kaum

Admin

SUNGAI DUA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sangat berpuas hati dengan keharmonian komuniti yang ditunjukkan oleh semua kaum sepanjang sambutan bulan Ramadan kali ini.

Sepanjang Ramadan ini juga, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau sendiri begitu kagum dengan semangat saling membantu yang ditunjukkan semua pihak kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan kepercayaan.

“Pimpinan Kerajaan Negeri sangat berpuas hati dengan suasana harmoni yang wujud dalam kalangan masyarakat negeri ini, yang saling membantu terutamanya kepada golongan memerlukan (asnaf).

“Adalah diharapkan agar majlis sebegini dapat mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin di antara kita dalam bulan Ramadan yang diberkati,” jelasnya dalam Majlis Iftar Setalam dan Sumbangan Aidilfitri di Masjid Simpang Empat Permatang Buluh pada 1 Jun 2019 dekat sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long dan Pengerusi Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh, Zambri Darus.

Kon Yeow memberitahu bahawa menerusi Penang2030, pentadbirannya akan berusaha memastikan semua program yang dianjurkan Kerajaan Negeri hari ini benar-benar dirasai oleh rakyat teramai di Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD