Kon Yeow harap kolaborasi institusi kewangan Islam, IKS lonjak potensi industri halal negeri

BAYAN LEPAS – Industri halal global yang kian berkembang sihat serta dijangka meningkat kepada 3.1 trilion Dolar Amerika Syarikat (USD) menjelang tahun 2022 kelak diharap turut membawa limpahan kemewahan dan ekonomi ke Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang begitu berharap semua institusi kewangan serta perbankan Islam dapat saling bekerjasama dengan para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) demi melonjak lagi potensi industri halal negeri di Pulau Pinang.

“Industri halal adalah sektor perniagaan yang sedang berkembang pesat serta menjana faedah, dengan wujudnya (pelbagai instrumen dan institusi) kewangan Islam.

“Melihat ke hadapan, (institusi perbankan dan) kewangan Islam sewajarnya menggalakkan perkembangan pasaran sektor industri halal serta syarikat-syarikat perdagangan (berasaskan produk halal dan perkhidmatan),” ucapnya dalam penganjuran Islamic Finance Rendezvous Series 2019 dekat Hotel Eastin, Bayan Lepas di sini 14 Januari 2019.

Turut berucap, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri pada 11 Ogos 2008 lagi menubuhkan Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH), sebagai dorongan langsung bagi memenuhi permintaan pengguna global yang kian meningkat dalam sektor berkaitan produk serta perkhidmatan halal.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Bank Negara Malaysia (BNM) & Persatuan Takaful Malaysia atas penganjuran persidangan tersebut.

Kon Yeow dalam pada itu turut berharap persidangan seumpaman ini dapat menjadi jambatan secara langsung untuk semua pihak berkepentingan dalam memakmurkan lagi ekonomi Pulau Pinang.

Difahamkan, pada tahun 2017, sejumlah 290,000 permohonan baru berkaitan kewangan Islam telah diluluskan untuk IKS, dengan nilai kira-kira RM73.4 bilion berdasarkan sumber BNM.

Manakala di Pulau Pinang pula, RM4 bilion nilai kewangan Islam berkaitan IKS bagi tahun 2017 meletakkan negeri ini di kedudukan lima terbaik berbanding negeri-negeri lain.

“SME Pulau Pinang berada di kedudukan lima terbaik, menyumbang kira-kira 7.4 peratus atau 66,921 daripada keseluruhan (permohonan baru berkaitan kewangan Islam) di Malaysia,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan pelaburan keseluruhan ke Pulau Pinang dalam suku ketiga tahun lepas (Q3 2018: Januari – September) adalah sejumlah RM3.8 bilion.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : LAW SUUN TING