Kon Yeow harap MPKK beri 100% komitmen bantu akar umbi faham Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semua 92 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Daerah Timur Laut yang mendapat watikah pelantikan pada petang ini dapat memberi 100 peratus komitmen dalam membantu penduduk setempat memahami Penang2030.

Ketika berucap, Kon Yeow berkata, MPKK perlu menjelaskan empat teras utama yang terkandung dalam dokumen bertulis mengenai wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang dalam tempoh 11 tahun sehingga 2030 itu.

“Empat teras utama yang digariskan dalam Penang2030 untuk memacu projek-projek pembangunan…antara projek terlibat termasuk pembinaan rumah mampu milik, penambahan sisten jaringan jalan raya sedia ada, program-program bantuan (kebajikan) dan tranformasi pendidikan.

“Saya berharap agar semua MPKK dapat memberikan 100 peratus komitmen untuk membantu komuniti setempat memahami serta membantu jentera Kerajaan Negeri mencapai objektif penubuhan Penang2030 secara holistik dan berkesan,” jelasnya dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK Peringkat Daerah Timur Laut Bagi Penggal 2019/2020 dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 19 Februari 2019.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa terdahulu terdapat 81 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), dan bertambah 11 lagi jawatankuasa selepas distruktur semula kepada MPKK.

Timbalan Ketua Menteri I Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan turut berucap pada majlis sama.

Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim dan beberapa wakil rakyat bagi daerah ini turut sertai acara tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ALISSALA THIAN