Pusat tuisyen percuma KADUN Tanjung Bunga, bantu kurangkan beban ibu bapa kurang berkemampuan

Admin
dig

GEORGE TOWN – Pusat Tuisyen Rakyat secara percuma KADUN Tanjung Bunga mulai Mac 2019 ini adalah bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari berkata, program anjuran bersama Penggerak Komuniti Muda (PEKA) itu menyasarkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Program ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah kerana kita tahu ramai pelajar memerlukan bantuan tetapi ibu bapa mereka tidak mampu.

“Oleh itu, kita amat mengalu-alukan keluarga kurang berkemampuan untuk mendaftarkan anak-anak mengikuti tuisyen secara percuma ini sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan,” ujarnya pada sidang media di Komtar, sebentar tadi.

Turut serta, Penyelaras PEKA, Mohd. Hazizi Padzil dan Mastura Afandi (AJK).

Tambah Zairil, mata pelajaran yang akan diberikan pada tuisyen berkenaan adalah sains dan matematik bagi pelajar UPSR serta PT3 manakala pelajar SPM pula adalah matematik dan bahasa Inggeris.

“Setiap kelas boleh didaftarkan maksimum 30 murid dengan masa pembelajaran adalah selama 1 jam 30 minit pada setiap hari Sabtu,” katanya lagi.

Maklumat berkaitan pendaftaran boleh hubungi talian 04-890 3866/016-214 2248 atau hadir ke Pusat Khidmat ADUN Tanjung Bunga di Jalan Desiran Tanjung.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : J. KIRRTHANA