Kon Yeow lihat cabaran di Batu Kawan sebagai peluang positif jana pembangunan masa depan Negeri

BUKIT TENGAH – Calon bagi P046 Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow melihat cabaran bertanding di kawasan tersebut sebagai peluang positif dalam menjana pembangunan masa depan Pulau Pinang.

 

 

Kon Yeow menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk memberikan janji-janji kosong sebaliknya mahu meletakkan landasan yang kukuh di Seberang Perai dan juga Batu Kawan.

 

 

“Mungkin ada isu yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa singkat, tetapi harus sediakan perancangan, apa yang boleh selesai, kita selesaikan.

 

 

“Apa yang memerlukan jangka masa panjang, kita buat perancangan, kajian dan cari jalan cara-cara untuk menyelesaikan seperti banjir, bekalan air, elektrik, kesesakan lalu lintas dan lain-lain.

 

 

“Di Batu Kawan, banyak sektor-sektor seperti penternakan ayam,  khinzir, nelayan, masalah pencemaran, industri-industri dan ini merupakan ‘peluang’… sekiranya permasalahan ini dilihat negatif ia akan menjadi ‘masalah’, kalau (lihat) pada sudut positif, ia adalah peluang ekonomi lebih baik, peluang perniagaan dan mendirikan keluarga dalam suasana yang lebih baik,” ujarnya pada Majlis Hi-Tea bersama-sama komuniti wanita Bukit Tambun di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan calon P044 Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin beliau sendiri sebagai Ketua Menteri turut memberi fokus dalam menangani masalah di Batu Kawan dan Seberang Perai yang merupakan masa depan Pulau Pinang.

 

 

“Kita (Kerajaan Negeri) pun tahu apabila kita membangunkan Batu Kawan, permasalahan dan cabaran akan timbul, oleh itu kita perlu fokus dan selesaikan masalah-masalah di Seberang Perai khususnya Batu Kawan ini.

 

“(Dan) saya percaya sekiranya diberi peluang menjadi Ahli Parlimen, tambahan dengan kedudukan Ketua Menteri, saya dan pasukan jentera Kerajaan Negeri dapat memberi fokus terhadap isu-isu yang ada di Batu Kawan supaya kawasan ini menikmati pembangunan yang mampan serta lestari.

 

 

“Semalam, banjir dan kesesakan lalu lintas, tetapi saya melihat daripada sudut positif dan sebab itulah saya datang ke sini, saya mahu menggunakan pengalaman saya dalam kerajaan (negeri) untuk memastikan Batu Kawan dapat perhatian yang sebaik-baiknya,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyatakan kewibawaan Pakatan Harapan yang diberi kepercayaan oleh rakyat sebagai Kerajaan Negeri sehingga dipilih selama tiga penggal sejak tahun 2008.

 

 

“Di Putrajaya pun kita harap begitu, siapa kata kita tidak mampu jadi Kerajaan Pusat, dahulunya sudah buat pilihan tetapi kerana masalah dalaman, kita hilang kuasa itu.

 

 

“Dari segi kemampuan, kita mampu lakukan, dengan syarat kita kena habis lima tahun, barulah mampu putuskan kewibaan Pakatan Harapan,” tegasnya.

 

 

Seusai majlis Hi-Tea tersebut, Kon Yeow turut mengunjungi kuil Sri Mangalanayagi Amman di Bukit Tengah dalam menyantuni masyarakat India di kawasan setempat.