Kon Yeow menang di Batu Kawan

BUKIT TENGAH – Chow Kon Yeow yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) sah memenangi kerusi Parlimen P046 Batu Kawan dengan 40,400 majoriti undi.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan ringkasnya merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana kekal memberi mandat kepada PH di kerusi Parlimen berkenaan.

Dalam kegembiraan meraikan kemenangan bersama itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Negeri Pulau Pinang turut menzahirkan rasa sedih kerana gabungan parti itu gagal mempertahankan kemenangan di P044 Permatang Pauh.

”Walaupun saya dapat kemenangan di Batu Kawan dengan majoriti yang besar, namun Pakatan Harapan (PH) tidak dapat mencapai sasaran kita sekurang-kurangnya mengekalkan kerusi yang telah dimenangi sebelum ini (iaitu) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tambahan pula, Puan Nurul Izzah Anwar sudah ditewaskan di kawasan (Parlimen P044) Permatang Pauh, manakala hasrat kita (PH) untuk menang di Tasek Gelugor dan Kepala Batas juga tidak tercapai.

“Maka, pada keseluruhannya ada ‘kecacatan’ pada pencapaian kita (PH Pulau Pinang),” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang dalam sidang media di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) P046 Batu Kawan di Kolej Vokasional Seberang Perai di sini sebentar tadi.

Selain itu, beliau berkata bahawa pihaknya turut menanti keputusan rasmi PRU15 bagi seluruh negara.

“Jadi, kita harap (semua pihak) bersabar menanti keputusan akhir (PRU15) bagi pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam nada sederhana.