Kon Yeow percaya operasi pembenihan awan diteruskan sehingga empangan capai kapasiti efektif

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media di Komtar pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Hujan di beberapa lokasi selama sejam pada malam tadi seakan tidak menyumbang kepada peningkatan kapasiti air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sungguhpun operasi pembenihan awan telah dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata beliau percaya bahawa JMM akan terus melakukan usaha pembenihan awan sehingga taburan hujan yang mengisi empangan-empangan mencapai kapasiti ‘selesa’.

“Dalam satu hari, saya rasa tidak ada perubahan sangat, walaupun semalam ada (turun) hujan semalam satu jam di beberapa lokasi.

“Masalahnya, air (hujan) tidak turun (mengalir) ke kawasan empangan,” jelasnya dalam sidang media di sini pada 20 Januari 2020.

Menurut Kon Yeow, di Empangan Air Itam, purata taburan hujan yang dikesan hanya 2 milimeter (mm) dikesan ke kawasan tadahan tersebut, dengan kapasiti efektif hari ini ialah 60.4 peratus.

Sementara di Empangan Teluk Bahang pula, beliau memberitahu bahawa tiada hujan direkodkan di kawasan tadahan semalam, dengan kapasiti efektif masih 38.1 peratus.

“Kita (bahagian Seberang Perai) masih menimba air mentah dari Sungai Muda setakat ini dan mengikut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), keadaan kapasiti efektif adalah terkawal.

“Tetapi, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) masih menyeru agar semua pihak menggunakan air secara berhemah sehingga mencapai sifar pembaziran,” serunya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALVIE CHENG