Kon Yeow umum pembinaan asrama pekerja bertaraf antarabangsa di North Penang Science Park

Admin
KETUA Menteri dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri yang lain di Komtar pada tengah hari tadi, berhubung sesi pameran projek pembinaan asrama pekerja North Penang Science Park Batu Kawan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memilih syarikat Biopolis Resources Sdn. Bhd. untuk membina asrama pekerja di atas sebidang tanah awam seluas 4.9781 ekar milik agensi negeri itu di North Penang Science Park, Batu Kawan.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kerja-kerja pembinaan akan mengambil masa selama empat tahun, dengan kerja-kerja pembinaan hanya akan dimulakan sebaik sahaja pihak syarikat memperoleh kelulusan Notis Mula Kerja (COW).

“Projek pembangunan asrama pekerja yang bertaraf antarabangsa ini dirancang bagi menyediakan tempat penginapan atau kediaman kepada warga tempatan dan warga asing yang bekerja di kawasan perindustrian berdekatan.

“Saya berharap projek ini akan dapat menyediakan kawasan kediaman yang tersusun dan teratur beserta segala kemudahan yang selesa untuk para pekerja kawasan perindustrian di sekitarnya,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar dekat sini pada 20 Januari 2020.

Selepas itu, Kon yeow menyaksikan majlis pertukaran perjanjian antara Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abdul Kahar dan Pengarah Biopolis Resources Sdn. Bhd., Datuk Ar. Richard Jong East Full.

Turut menyaksikan, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pelancongan, Warisan, Budaya & Kesenian, Yeoh Soon Hin; Pemegang Saham Biopolis Resources Sdn. Bhd., Tan Sri Datuk Seri H’ng Bok San.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa projek pembangunan tersebut mempunyai lima fasa, melibatkan pembinaan 684 unit asrama yang mampu menampung kira-kira 12,313 kapasiti penghuni dalam kalangan pekerja; selain lapan unit pejabat, ruang kemudahan pengangkutan awam, sebuah surau dan rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

Dalam pada itu, Bok San menyatakan bahawa hanya 42 daripada 684 unit asrama berkaitan akan diserahkan kepada PDC selepas siap, dengan Biopolis Resources Sdn. Bhd. masih menguruskan urusan penyelenggaraan serta mengutip sewa selama tempoh 15 tahun.

Tambah beliau, baki 642 unit asrama yang siap dibina adalah milik Biopolis Resources Sdn. Bhd., untuk konsesi kutipan sewa selama tempoh pajakan 99 tahun.

Tambah Bok San, Biopolis Resources Sdn. Bhd. melabur kira-kira RM250 juta bagi projek perkongsian awam-swasta (PPP) tersebut.

Manakala, Mohd. Bazid pula menzahirkan rasa gembira kerana PDC dapat memenuhi hasrat Kerajaan Negeri bagi menangani isu keselamatan serta keselesaan penduduk tempatan apabila terdapat warga asing menetap di sesuatu kawasan perumahan dengan kepadatan yang tinggi.

“Saya rasa projek ini sesuai sangat kerana ia berada di kawasan perindustrian, jadi, masalah-masalah sosial (melibatkan pekerja asing) tidak akan lagi timbul (kelak),” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALVIE CHENG