Kon Yeow puji projek tanam 5,100 pokok teduh Golden Penda serentak di Seberang Perai

Admin
Kon Yeow puji projek tanam 5,100 pokok teduh Golden Penda serentak di Seberang Perai

[Video]Kon Yeow puji projek tanam 5,100 pokok teduh Golden Penda serentak di Seberang Perai

Posted by Buletin Mutiara on Thursday, September 6, 2018

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow puji penganjuran program penanaman 5,100 pohon pokok Golden Penda secara serentak pada pagi ini di sekitar Seberang Perai.

Ketika berucap, beliau menyatakan bahawa program berkaitan adalah kesinambungan daripada projek penanaman 3,002 pokok teduhan Tecoma (Tabebuia Spp.) yang dilancarkan oleh bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng (kini Menteri Kewangan) pada 27 Ogos tahun lalu.

“Program sebegini merupakan sebahagian daripada hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana persekitaran yang segar dan nyaman, memberi kesedaran bahawa menghijaukan serta memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak, serta memupuk minat menanam pokok dan mencintai alam sekitar bagi rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam Majlis Penanaman 5,100 Pokok Golden Penda di Padang Taman Semilang di sini 7 September 2018.

Menurut beliau, usaha penanaman pokok teduhan adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan, seperti yang dinyatakan semasa Persidangan Rio pada tahun 1992.

Difahamkan, Golden Penda merupakan pokok teduhan dari jenis Xanthostemon Chrysanthus, berasal dari Australia.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, pokok Golden Penda dipilih dalam projek penanaman pokok teduhan berdasarkan sistem pengakaran yang baik serta memerlukan kerja penyelenggaraan minimum berbanding dengan pokok lain.

“Saya difahamkan penanaman pokok Golden Penda, bukan hanya akan ditanam di Taman Semilang, malah di seluruh kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Antara tempat-tempat yang telah dikenal pasti adalah kawasan lapang Taman Semilang, kawasan lapang Taman Bertam Perdana, kawasan lapang Taman Pekatra Indah, Klinik Cure & Care 1 Malaysia (dekat Bukit Mertajam), Jalan Permatang Nibong, Hospital Seberang Jaya & sekolah-sekolah yang memenangi Program Anugerah Sekolah Hijau,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas penajaan 5,100 pokok Golden Penda, termasuk 350 batang yang akan ditanam di kawasan lapang Taman Semilang.

“Bakinya (daripada 5,100 batang pokok ini) ditanam serentak di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.

ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga ADUN Sungai Bakap dan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB