Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT, kurang beban ibu bapa dan sebagai meraikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang – KM

Admin
https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/1681015778694188/

GEORGE TOWN – Seramai 1,815 anak jati negeri Pulau Pinang menerima Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) pagi ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek inisiatif Kerajaan Negeri dengan dana berjumlah RM1,518,500, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa, selain merupakan suatu bentuk penghargaan khusus untuk anak-anak Pulau Pinang.

Menurutnya, bantuan kewangan tersebut adalah berjumlah RM1,000 bagi pelajar yang berjaya mengikuti pengajian di universiti terpilih Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (RM1,200), manakala RM300 (politeknik terpilih).

“Sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008, program-program berbentuk bantuan seperti ini tidak pernah gagal dilaksanakan, dan statistik jumlah penerima turut menunjukkan trend pertambahan setiap tahun.

“Ia adalah khusus untuk meraikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang yang telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi, walaupun bantuan kewangan yang diberikan tidaklah seberapa, tetapi kita (Kerajaan Negeri) berharap ia digunakan sebaik-baiknya oleh pelajar,” ucapnya ketika menghadiri program Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT Tahun 2018/2019 Bagi Peringkat Pulau di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar), Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang), Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota) dan Zulkifli Long (Pengawai Daerah Timur Laut),

Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri sedar bahawa Pulau Pinang yang kini sedang pesat membangun memerlukan persediaan untuk menarik bakat-bakat baharu terutamanya golongan anak muda dan seterusnya meningkatkan bidang pengetahuan serta industri kreatif selain keperluan penambahbaikan kualiti hidup.

“Kerajaan Negeri percaya dengan sumber asli yang terhad di negeri ini, kebergantungan kepada sumber manusia adalah perlu dititikberatkan.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) sangat menjaga kebajikan anak-anak negeri ini dengan hasrat dan harapan agar mereka (para pelajar ini) dapat menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu serta kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat pengajian kelak.

“Marilah kita semua bersama-sama berusaha dan bekerjasama untuk menggembleng tenaga, menyumbang idea serta bakat demi negeri tercinta kita, Pulau Pinang,” seru beliau.