Kon Yeow respons acara terkini MoU Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Admin

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengaku bahawa beliau tidak mengetahui sama sekali mengenai majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim antara Kerajaan Negeri Kedah dan satu pihak perunding kejuruteraan dari Perancis, yang dijadualkan pada petang ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi bagaimanapun berkata bahawa pemeteraian MoU itu adalah proses awal yang biasa dilakukan oleh sesebuah Kerajaan Negeri.

Malah, ulasnya, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu mestilah berdasarkan kajian kebolehlaksanaan, kajian teknikal serta ditentukan kaedah pembiayaan kewangan, selain mesti mendapatkan kelulusan beberapa agensi berwajib.

“Pelbagai kajian perlu dilakukan (terlebih dahulu) seperti kajian kebolehlaksanaan, kaedah pembiayaan kewangan dan kajian teknikal.

“Proses (membuat kajian-kajian berwajib ini) macam kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) lakukan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Perlu mengambil masa untuk siapkan (kajian-kajian ini) dan perlu diikuti dengan permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada agensi-agensi berwajib sebelum ianya dapat dilaksanakan,” respons Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan kilang pembuatan lampu LED Dialight Penang Sdn. Bhd. di sini pada 10 Februari 2020.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden (Operasi Wilayah Asia Pasific) Dialight, Malcolm Lee; Pengurus Kilang Dialight Penang, Ilamaran Elangkathir.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong mensyor Kerajaan Persekutuan membuat kajian-kajian berwajib sebelum memuktamadkan hasrat untuk membina sebuah lapangan baharu di Kulim, Kedah.

Beliau berkata, Putrajaya wajar mengambilkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sedia ada, yang mampu menampung keperluan di sempadan negeri, Kedah dan Perak.

Malah, Kon Yeow turut menyatakan komitmen sekiranya Putrajaya berhasrat mengadakan pertemuan tiga pihak termasuk melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Kedah bagi membincangkan isu-isu berbangkit melibatkan lapangan terbang baharu di Kulim serta kepentingan bersama daripada aspek ekonomi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS