Kon Yeow serah ‘perjuangan’ mengadakan semula pilihan raya PBT kepada Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyerahkan ‘perjuangan’ untuk mengadakan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang memberitahu bahawa sejak tahun 2008, kepemimpinan parti beliau telah melaksanakan pelbagai usaha berwajib untuk ‘perjuangan’ tersebut berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri sedia ada.

Justeru, menurutnya, terpulang kepada iltizam Menteri serta Kerajaan Persekutuan sekarang, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan telah bertegas bahawa pilhan raya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah buat apa yang boleh buat di sisi undang-undang, melainkan pinda Akta Kerajaan Tempatan yang di bawah (bidang) kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kita menyerahkan bahagian ‘perjuangan’ ini kepada Menteri,” jelas Kon Yeow dalam sidang media di Komtar pada 12 Disember 2018.

Menjawab soalan pemberita lagi, Kon Yeow menjelaskan hasrat mengadakan semula pilihan raya peringkat PBT bukan termasuk dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hampir tujuh tahun lalu, Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 yang baru diwartakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Ketika itu, Kon Yeow memberi tempoh selama sebulan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan perundangan tersebut, sebelum Kerajaan Negeri merujuk isu tersebut ke mahkamah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Videob: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS