Kon Yeow seru status Tapak Warisan Dunia UNESCO dijaga semua pihak

Admin
a92f6ad2 1391 42c0 a5e9 debd9550f2bb

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan kewujudan dan pemeliharaan komuniti Masjid Benggali di tengah-tengah kota warisan dunia ini menyumbang kepada keunikan Pulau Pinang terutamanya dalam mengekalkan warisan serta nilai sejarah yang penting di negeri ini.

Menurut beliau, dalam usaha mengekalkan status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, warisan ketara dan tidak ketara harus dipelihara dengan sebaiknya oleh semua pihak.

01229fb7 82ec 4291 948b 60773e9ab369

 

“Status Tapak Warisan Dunia UNESCO (George Town) bukanlah selama-lamanya, ia boleh dikaji oleh jawatankuasa UNESCO tambahan jika terdapat aduan, kemungkinan ada kelanggaran atas tapak ini, maka siasatan oleh pihak berkenan akan dijalankan.

“Selepas disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 7 Julai 2008 sehingga kini, walaupun ada beberapa insiden yang menarik perhatian jawatankuasa UNESCO, kita (Kerajaan Negeri) dapat memberi respon dan tindakan balas demi meyakinkan tapak ini dijaga sebaik-baiknya,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kariah Masjid Benggali, Lebuh Leith di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee; Pengerusi Qaryah Masjid Benggali, Dato’ Omar Kadir; Timbalan Pengerusi Masjid Benggali, Zainal Aziz Din dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam pada itu bangga dan gembira dengan komitmen serta tanggungjawab yang dimainkan oleh kariah masjid serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan yang sentiasa menjadikan kebajikan sosial masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing.

 

 

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai usaha-usaha yang telah diambil oleh kalian semua yang secara langsung membantu pentadbiran ini untuk mengenal pasti dan menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang lebih memerlukan.

24c2185e 7e52 4852 b96d 084dc0759396

“Saya percaya penganjuran majlis buka puasa pada hari ini mampu menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani.

“Oleh itu, saya telah bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk kelancaran majlis ini, maka saya berharap, peruntukan tersebut dapat membantu melicinkan majlis pada hari ini,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS